Mahkamah mendapati semua alasan rayuan pendakwaan tidak mempunyai merit - Hakim Che Mohd Ruzima

Tarikh: 13/07/2026
img

PUTRAJAYA: Penghakiman majoriti Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan tafsiran Mahkamah Rayuan bahawa perkataan 'perbelanjaan' tidak boleh disamakan dengan 'pengeluaran wang' kerana kedua-duanya membawa maksud berbeza.

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, berkata beliau bersetuju dengan Mahkamah Rayuan tindakan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari ARMADA mengeluarkan RM1 juta daripada akaun sayap pemuda BERSATU semata-mata, tidak boleh disamakan dengan kesalahan pecah amanah jenayah.

Menurutnya, perlembagaan parti hanya satu set peraturan dalaman parti politik dan pelanggaran terhadapnya mungkin mengundang tindakan disiplin, tidak semestinya satu kesalahan jenayah.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan mendapati tindakan Rafiq Hakim mengeluarkan RM1 juta daripada akaun ARMADA tidak memenuhi unsur kesalahan pecah amanah jenayah.

Che Mohd Ruzima berkata, salah satu pertimbangan utama ialah tafsiran Perkara 24.8 Perlembagaan BERSATU yang hanya melarang perbelanjaan melebihi RM100,000 tanpa kelulusan Majlis Tertinggi.

Katanya, ia tidak menyebut pengeluaran wang.

"Sekiranya terdapat dua tafsiran yang munasabah terhadap sesuatu peruntukan, tafsiran yang memihak kepada tertuduh hendaklah diterima.

"Mahkamah turut mengambil perhatian bahawa saksi pendakwaan ke-13 (Rafiq Hakim) sendiri tidak pernah didakwa atas kesalahan pecah amanah jenayah.

"Dalam sistem keadilan jenayah, beban membuktikan kesalahan terletak kepada pendakwaan…prinsip anggapan tidak bersalah adalah prinsip asas undang-undang jenayah.

"Syak wasangka yang kuat sekali pun tidak boleh menggantikan bukti," katanya.

Che Mohd Ruzima berkata oleh kerana Rafiq Hakim tidak pernah didakwa atau disabitkan, beliau tidak boleh dianggap sebagai seseorang yang melakukan kesalahan pecah amanah jenayah.

Beliau berkata, mahkamah juga bersetuju dengan dapatan Mahkamah Rayuan bahawa terdapat asas munasabah untuk membuat kesimpulan bahawa saksi pendakwaan ke-13 itu mungkin memberikan keterangan yang disesuaikan selepas menerima tekanan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau menegaskan bahawa dapatan itu dibuat berdasarkan keterangan saksi dan bukannya satu tuduhan melulu terhadap SPRM atau pihak pendakwaan.

"Oleh itu, mahkamah mendapati tiada kesilapan dalam keputusan Mahkamah Rayuan bahawa pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan persubahatan," katanya.

Che Mohd Ruzima berkata demikian ketika membacakan penghakiman bertulisnya terhadap dua pertuduhan ke atas Syed Saddiq iaitu bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan menyalahgunakan harta mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan pula, beliau berkata, pendakwaan perlu membuktikan bahawa RM120,000 yang didakwa disalahgunakan sebenarnya milik pihak lain.

Beliau berkata, bagi pertuduhan ini, pendakwaan mendakwa wang berkenaan milik Akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE), dan mahkamah bersetuju salah satu unsur utama Seksyen 403 ialah harta itu mestilah milik orang lain.

"Pendakwaan gagal membuktikan bahawa RM120,000 dalam akaun ABBE adalah milik ABBE…saksi pendakwaan ke-13 sendiri mengakui wang itu dikumpulkan melalui dua majlis kutipan dana bagi kempen pilihan raya Syed Saddiq di Muar.

"Pegawai penyiasat turut mengesahkan kedua-dua program kutipan dana berkenaan memang bertujuan membiayai kempen pilihan raya responden.

"Tiada seorang pun saksi pendakwaan dapat membuktikan wang RM120,000 itu adalah milik ABBE atau Rafiq Hakim, sebaliknya keseluruhan keterangan menunjukkan wang ia dikumpulkan khusus bagi membiayai kempen pilihan raya Syed Saddiq.

"Walaupun wang itu asalnya adalah disumbangkan oleh penderma, hak miliknya berpindah apabila diserahkan bagi tujuan kempen politik terbabit," katanya.

Sehubungan itu, Che Mohd Ruzima berkata, mahkamah bersetuju bahawa pendakwaan gagal membuktikan satu unsur penting dalam pertuduhan Seksyen 403.

Beliau berkata, dua pertuduhan pengubahan wang haram pula bergantung kepada kewujudan kesalahan asas di bawah Seksyen 403.

Menurutnya, mahkamah mendapati oleh kerana pertuduhan Seksyen 403 gagal dibuktikan, maka pertuduhan pengubahan wang haram juga tidak dapat dikekalkan.

Katanya, mahkamah bersetuju dengan dapatan Mahkamah Rayuan bahawa tanpa kesalahan asas, pertuduhan pengubahan wang haram tidak boleh diteruskan.

"Sebagai kesimpulan, mahkamah mendapati semua alasan rayuan pendakwaan tidak mempunyai merit.

"Selepas meneliti keseluruhan keterangan, mahkamah bersetuju bahawa sabitan Mahkamah Tinggi terhadap Syed Saddiq bagi keempat-empat pertuduhan adalah tidak selamat.

"Sehubungan itu, ketiga-tiga rayuan pendakwaan ditolak. Keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada keempat-empat pertuduhan dikekalkan.

Itulah keputusan saya," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana ARMADA berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di ibu negara, pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ABBE dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, antara 8 dan 21 April 2018.

Pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu dituduh melakukan kesalahan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel