MB akan dipanggil SPRM berkait isu rasuah RM6 juta

Tarikh: 15/01/2024
img

PETALING JAYA: Menteri besar sebuah negeri di utara akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait isu rasuah lebih RM6 juta melibatkan persatuan bola sepak.

Menurut sumber, siasatan membabitkan kes rasuah itu dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek di negeri berkenaan jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak tersebut.

“Berdasarkan siasatan, terdapat individu penting berjawatan tinggi di kerajaan negeri dan di persatuan bola sepak berkenaan yang berjanji akan memberikan projek-projek pembinaan dan perkhidmatan sebagai balasan kepada kontraktor yang menyumbang dana.

“Namun, selepas kontraktor-kontraktor ini menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak berkenaan, mereka tidak menerima sebarang projek sebagaimana dijanjikan individu terbabit,” kata sumber itu.

Sumber berkata, kontraktor yang merasakan ditipu membuat laporan kepada SPRM atas penawaran projek dijanjikan kepada mereka oleh individu berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, mengesahkan pihaknya akan memanggil menteri besar berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Pada 5 Jan lalu, ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah persatuan bola sepak negeri di utara antara empat ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah RM6 juta pada 2020.

Keesokannya Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Radhi Mat Din, mengesahkan CEO persatuan itu, Zulkifli Che Haron direman SPRM.

Semalam, Sanusi yang juga presiden KFA berkata beliau sasaran “sebenar” siasatan SPRM ke atas kes rasuah membabitkan persatuan itu.

Beliau mendakwa, individu ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah RM6 juta pada 2020 itu sekadar “aksesori” kerana dirinya sasaran sebenar “mereka” mahu kaitkan.

Namun, beliau tidak menjelaskan “mereka” yang dimaksudkannya.

Sumber: Free Malaysia Today

MACC FM
My Anti-Corruption Channel