MCMC sedia bantu siasatan kes Tunku Mahkota Ismail dikaitkan tuduhan rasuah

Tarikh: 02/07/2024
img

KULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersedia memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan terhadap pemilik akaun media sosial yang mengaitkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam tuduhan rasuah terhadap seorang pegawai kanan kerajaan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata MCMC mempunyai kepakaran teknikal dalam mengendalikan siasatan berkenaan kes-kes membabitkan platform media sosial.

"Kami bersedia memberi bantuan kepada PDRM tetapi setakat ini, kami belum menerima sebarang aduan atau permohonan untuk membantu siasatan.

"MCMC bergantung pada laporan awam untuk mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Murid Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Pejabat Pendidikan Kulai, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar mengesahkan pihaknya telah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung satu hantaran melalui media sosial yang mengaitkan Tunku Mahkota Ismail dalam tuduhan rasuah.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dilaporkan berkata Johor melihat isu itu sebagai hasutan jahat dalam cubaan menjatuhkan institusi diraja, dan kerajaan negeri telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu dalam isu berbeza, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, agensi media rasmi kerajaan telah diarah memberi penjelasan berhubung isu pembelian saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) oleh Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Kementerian Kewangan; serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah memberi penjelasan berhubung perkara ini.

"Sehubungan itu, Kementerian Komunikasi telah meminta RTM, Bernama dan Jabatan Penerangan untuk membuat laporan berdasarkan penjelasan rasmi yang diberikan kerajaan.

"Ini bertujuan memastikan tiada salah faham berlaku dan lebih ramai masyarakat mendapat maklumat lengkap serta jelas berhubung isu pembelian saham itu," katanya.

Pada 21 Jun lalu, Anwar dilapor mengingatkan semua pihak khususnya pembangkang, supaya tidak menjadikan isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan MAHB, sebagai 'wayang politik'.


Sumber : Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel