Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan media memainkan peranan penting dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, ia juga selaras peranan media sebagai penghubung antara pemerintah dan rakyat.
Menurutnya, jambatan perantara itu yang membolehkan maklumat mengalir secara dua hala.
"Kuasa media sebagai tunjang keempat atau "fourth pillar in a democracy" mampu memantau, mendidik, memberi amaran malah mendedahkan kepincangan atau salah laku yang berlaku dalam kerajaan dan masyarakat.
"Oleh sebab itu, kuasa media mampu mewujudkan persepsi, baik positif atau pun negatif, serta mampu mengalih atau menumpukan perhatian terhadap individu atau pun sesuatu isu.
"Malah lebih daripada itu, media juga mampu menaikkan atau menjatuhkan sesebuah kerajaan. Itulah kuasa media di bawah suntingan pengarang. Bak kata pepatah: "Whoever controls the
media, controls the mind". Oleh itu, kuasa ini harus digunakan dengan penuh tanggungjawab, kerana "with power, comes responsibility," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Malam Anugerah Media SPRM 2022, di sini, hari ini.
Sementara itu, katanya, berkaitan perkembangan teknologi termasuk dalam penyampaian maklumat menerusi media beliau berkata sering menasihati pegawainya supaya menjadi 'muda mengikut zaman' atau dalam erti kata lain sentiasa mengikut trend teknologi semasa.
"Kita perlu berubah daripada segi pendekatan dan tidak boleh mengikut cara lama lagi dalam menyampaikan atau mencari maklumat atau seumpamanya.
"Kita harus menyedari bahawa terlalu banyak perkara yang boleh dimanfaatkan menerusi 'open source' di luar sana namun ia perlu kajian dan pertimbangan sewajarnya.
"Perkara yang sama berlaku dalam isu rasuah. Saya menganggarkan hanya sekitar lima peratus sahaja pengadu yang sanggup tampil melaporkan jenayah ini secara bersemuka disebabkan bimbang terhadap implikasi yang bakal terjadi kepada mereka akibat tindakan itu," katanya.
Beliau berkata, selebihnya, pengadu lebih selesa dengan menggunakan apa jua aplikasi dalam talian yang ada termasuklah hebahan di media sosial atau meviralkan apa perkara yang berlaku.
Azam berkata, oleh itu beliau tidak memandang media sosial sebagai sesuatu yang terlalu negatif tetapi kebijaksanaan amat penting dalam hal ini iaitu bagaimana membuat penilaian supaya jangan tersalah langkah.
"Salah satu kaedah yang digunakan ialah kita perlu melihat kepada media arus perdana terlebih dahulu. Apa yang keluar daripada media arus perdana itu adalah keutamaan.
"Maka disinilah tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul pengamal media malah warga SPRM juga supaya dapat menyampaikan sesuatu yang sahih, tepat dan mampu mendidik minda masyarakat ke arah kebaikan," katanya.
Sementara itu, Berita Harian (BH) berjaya menjadi pemenang utama dan Anugerah Juri 1 kategori media cetak menerusi laporan dua wartawannya, Ilah Hafiz Aziz (Pelan Antirasuah Nasional) dan juga bersama Suzalina Halid (Kolam Takungan Banjir).
Manakala bagi kategori media elektronik, TV3 merangkul hadiah utama menerusi laporan 'SPRM Gempur Premis Curi Elektrik Lombong Bitcoin' yang dihasilkan Pengarang, Ing Boon Seng dan wartawan, Juliana Sharin serta jurukamera, Mohd Jufri Judin.
Sumber: Harian Metro