Mekanisme DPA selesai kes rasuah mega

Tarikh: 12/01/2026
img

KUALA LUMPUR: Perjanjian Pendakwaan Tertunda (DPA) yang dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat tahun ini akan mencadangkan tindakan penyelesaian dan penalti ke atas kes rasuah berskala besar membabitkan nilai RM100 juta dan ke atas.

Ia bermaksud kes rasuah mega, khususnya membabitkan entiti korporat boleh diselesaikan melalui mekanisme DPA tanpa perlu melalui proses perbicaraan penuh yang selalunya mengambil masa lama.

Penyelesaian itu bagaimanapun tetap tertakluk pada pematuhan senarai syarat yang ditetapkan pihak pendakwaan dan agensi penyiasat.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, memaklumkan penyelesaian melalui DPA tidak akan membabitkan kes rasuah dan penyelewengan biasa, sebaliknya dengan nilai rasuah atau kerugian terlalu besar kepada negara.

Selain entiti korporat, katanya, DPA di Malaysia akan dicadang digunakan dalam kes individu yang bertanggungjawab melakukan rasuah membabitkan nilai yang ditakrif sebagai sangat besar.

Katanya, adalah penting untuk peruntukan undang-undang DPA dipercepatkan dalam usaha memastikan rasuah mega di Malaysia tidak lagi berlarutan sehingga merugikan banyak pihak, khususnya kerajaan.

DPA masih di peringkat draf

Beliau menjelaskan, ketika ini DPA masih pada peringkat draf dan pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk dibentangkan pada sesi kedua sidang Parlimen tahun ini yang dijadualkan bermula Jun depan.

"Ia akan dibentangkan tahun ini pada sidang Dewan Rakyat selepas setahun dicadangkan. Walaupun agak lewat bagi saya, keperluan ini perlu dilaksanakan.

"DPA sudah diamalkan di banyak negara maju seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) untuk menyelesaikan kes berkait entiti korporat. Di Malaysia, kita juga akan cadang ia digunakan untuk kes berprofil tinggi membabitkan individu.

"Penggunaan DPA ini mesti untuk yang ada kes (rasuah)," katanya dalam Podcast Borak Harini terbitan BH.

Kes Airbus babit penalti tiga bilion euro

Azam memberi contoh, dalam kes Airbus, tindakan dikenakan pihak berkuasa dirujuk sebagai 'ditangguhkan' atau deferred melalui penalti kira-kira tiga bilion euro, selain dipantau agar mematuhi syarat tertentu selama dua tahun oleh pihak berkuasa.

Beliau merujuk kes rasuah Airbus membabitkan Perancis, UK dan AS dengan pengeluar pesawat komersial utama dunia itu mengaku bersalah atas tuduhan rasuah dan sogokan untuk mendapatkan kontrak jualan pesawat.

"Kaedah sama akan digunakan di Malaysia, kita akan cadangkan DPA dikenakan untuk kes rasuah dengan nilai ambang cecah RM100 juta dan ke atas dan mempunyai kes (rasuah) untuk dituduh di mahkamah," katanya.

Kena bayar ganti rugi kepada mangsa

Azam berkata, antara kebaikan DPA adalah pihak dikenakan tindakan wajib mematuhi syarat pematuhan ketat, termasuk membayar ganti rugi kepada mangsa yang terkesan dalam penyelewengan dilakukan.

"Selain penalti, tindakan pemantauan perlu dilaksanakan terhadap entiti itu dan mereka harus patuh dalam tempoh tertentu," katanya.

Contoh, katanya, sekiranya DPA wujud ketika isu pencemaran Sungai Kim Kim di Johor sebelum ini, syarikat penyebab pencemaran bukan sahaja boleh dikenakan penalti, malah membayar kos pembersihan sungai dan kerugian ditanggung penduduk.

Mengenai jangkaan persepsi terhadap DPA, beliau percaya akan ada banyak pandangan negatif terhadap perundangan baharu itu, namun yakin ia akan membawa penyelesaian kepada banyak isu penyelewengan dan rasuah.

"Undang-undang ini tidak hanya memberi manfaat kepada SPRM, malah agensi penguatkuasaan lain secara keseluruhan.

"Sekarang di Malaysia, mungkin tahap pemahaman rendah dan saya percaya akan ada banyak persepsi negatif berbanding positif.

"Negara maju seperti AS juga menghadapi perkara sama, tetapi DPA di negara itu wujud sejak 1990 lagi dan sudah mencecah 35 tahun, sedangkan kita baru nak mula.

"Jadi kalau kita masih memikirkan mengenai persepsi, bila nak selesai?

"Tanggungjawab kami untuk yakinkan Ahli Parlimen apabila DPA ini dibentangkan. Ia mungkin ambil masa, tetapi kita perlu bermula dengan sesuatu," katanya.

Senarai rasuah lebih RM100 juta

Antara kes rasuah membabitkan nilai lebih RM100 juta dilaporkan di Malaysia sebelum ini adalah skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan kerugian RM52 bilion, dana SRC International (RM4.6 bilion), selain dakwaan penyelewengan serta pemerolehan hartanah dalam FGV Holdings dan FELDA.

Selain itu, penemuan wang tunai dan aset lebih RM169 juta dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dakwaan penggubahan wang haram RM500 juta membabitkan Sapura Energy Bhd dan RM139.2 juta berkait projek Lebuhraya MEX II yang turut mengandungi tuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dikaitkan dengan Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

Dalam kes membabitkan dana Persekutuan, siasatan ke atas Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melibatkan dana lebih RM3.3 bilion, selain Op Jana Wibawa 3 membabitkan nilai RM4.79 bilion dikaitkan dengan ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhamad.

Selain itu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dituduh menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta, manakala Datin Sri Rosmah Mansor didakwa meminta RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta berhubung projek solar hibrid di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel