Mesej WhatsApp mencurigakan, pegawai imigresen direman bantu siasatan SPRM

Tarikh: 15/02/2023
img

KUCHING: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) direman lima hari hingga 19 Februari ini, bagi membantu siasatan terhadap penemuan mesej mencurigakan dalam aplikasi WhatsApp pada telefon pintar miliknya.

Perintah tahanan reman bermula esok itu dikeluarkan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali di sini, hari ini, selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, suspek berusia 42 tahun ditahan kira-kira jam 4.40 petang semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu pada jam 10.15 pagi semalam, katanya, sepasukan pegawai Unit Integriti Imigresen Sarawak mengadakan pemeriksaan naziran di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu di Serian.

"Hasil naziran itu, pasukan menjumpai satu perbualan yang mencurigakan dalam aplikasi WhatsApp pada telefon pintar suspek.

"Pengadu (pegawai Unit Integriti JIM) kemudian membawa suspek ke pejabat SPRM Sarawak untuk tindakan lanjut," katanya.


Sumber : Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel