Kuala Lumpur: Pengarah sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta.
Suspek lelaki berusia 50-an itu dipercayai meminta wang rasuah sebagai balasan untuk memberikan kerja sebagai subkontraktor berhubung tender perkhidmatan membekal makanan dan minuman kepada pekerja berjumlah kira-kira RM900 juta.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada Ogos 2023 dan wang rasuah dikesan dipindahkan ke akaun milik syarikat suspek.
"Suspek juga disyaki mengaku sebagai kontraktor utama bagi tender pembekalan makanan dan minuman selama lima tahun kepada pekerja di sebuah loji penapisan minyak sedangkan pembekalan itu tidak wujud.
"Pada masa sama, suspek yang turut menyamar sebagai Datuk ini mempunyai rekod jenayah melampau membabitkan kes penipuan," katanya.
Susulan itu, suspek direman selama lima hari sehingga 20 Januari ini.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi hari ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Sumber: Harian Metro