MOT sokong SPRM tahan penguat kuasa jadi orang tengah kartel tonto

Tarikh: 26/02/2026
img

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) menyokong penuh tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat serta menahan penguat kuasa yang disyaki menjadi orang tengah kartel tonto berkaitan aktiviti rasuah perlindungan haram terhadap kenderaan perdagangan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata beliau sudahpun dimaklumkan lebih awal mengenai operasi bersepadu dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan SPRM itu bagi mempertahankan imej, kredibiliti serta integriti jabatan daripada elemen negatif yang tidak boleh dikompromi.

Sebelum ini, katanya, beliau turut menerima pelbagai aduan, termasuk daripada pengusaha lori, mengenai pembabitan penguat kuasa didakwa membocorkan maklumat operasi kepada pihak luar sebelum tindakan diambil.

"Perkara ini telahpun berlaku beberapa kali dalam masa beberapa bulan sebelum ini.

"Saya telah mengadu kepada Ketua Pengarah dan juga Pengarah Penguat Kuasa JPJ, justeru mereka membuat persiapan bersama SPRM untuk mengambil tindakan.

"Hasil siasatan dan pengintipan, didapati memang ada pihak dalaman (disyaki) terbabit, maka tangkapan telah dibuat semalam," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Ihya Ramadan Bersama Anak Yatim dan Media, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, dan Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Datuk Azhar Ahmad.

Mengulas lanjut, Loke berkata, situasi itu juga menyebabkan operasi besar-besaran bagi menangani isu kenderaan komersial membawa muatan berlebihan sebelum ini kurang berkesan.

Beliau berkata, ini berikutan pengusaha lori yang degil sebelum itu, bertindak mematuhi had muatan pada hari operasi selepas menerima maklumat awal.

"Saya berharap tindakan diambil SPRM itu dapat memberi amaran keras kepada pihak tidak bertanggungjawab bahawa mereka sedang diperhatikan.

"Jangan rasa dan jangan ingat bahawa kita tidak tahu apa yang anda buat, termasuklah pengusaha-pengusaha lori, yang membayar tonto-tonto ini untuk mendapatkan maklumat... mereka juga sedang dikenal pasti," katanya.

SPRM hari ini menahan reman 13 individu, termasuk tiga anggota penguat kuasa disyaki mendalangi kartel tonto berkaitan aktiviti rasuah bagi melindungi pemilik-pemilik lori yang beroperasi di seluruh Semenanjung.

Perintah reman selama tiga hari hingga 27 Februari ini terhadap semua suspek itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel