MP Padang Serai nafi salah laku, mohon batal pertuduhan di Mahkamah Tinggi Oleh Nor Azizah Mokhtar - Disember 8, 2025 @ 3:46pm

Tarikh: 09/12/2025
img

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan pertuduhan bersubahat menerima suapan RM400,000 yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Azman berkata, pertuduhan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 itu tidak menunjukkan sebarang perbuatan menerima atau meminta wang dilakukan olehnya.

Beliau berkata, butiran pertuduhan hanya menyatakan tuduhan bersubahat tanpa disertakan sebarang bukti yang boleh mengaitkan dirinya dengan perbuatan rasuah.

"Pertuduhan yang dikenakan terhadap saya tidak membuktikan saya menerima atau meminta wang, dan saya hanya dituduh bersubahat.. mengarahkan, tanpa apa-apa bukti yang mengaitkan saya.

"Barisan peguam saya akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan pertuduhan ini dan kami akan lawan kes ini sepenuhnya," katanya pada sidang media selepas proses jaminan selesai kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Beliau turut ditemani peguam, Afiq Nordin dan Zulazrai Zolkapli.

Selain itu, Azman turut diwakili peguam N Surendran.

Mengulas mengenai mengapa pertuduhan berkaitan kejadian 2020 hanya dikemukakan sekarang, Azman berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada SPRM kerana kuasa penyiasatan dan pendakwaan berada pada agensi berkenaan.

Azman turut memaklumkan, pihak pembelaan akan mencabar arahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Katanya, permohonan berkaitan pertuduhan dan arahan pasport akan difailkan sebelum tarikh sebutan semula pada 13 Januari 2026.

Terdahulu, beliau dan seorang ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar didakwa bersubahat menerima suapan RM400,000 bagi membantu memperoleh Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot untuk sebuah syarikat di Kedah.

Azman, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan bersubahat menerima suapan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Pertuduhan terhadap Azman dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM75,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel