PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini dijangka berdepan tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM230 juta.
Kesemua nilai berkenaan disyaki hasil daripada 30 rasuah yang diterima Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sebagai balasan mendapatkan projek kepada kontraktor.
Pertuduhan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 berkaitan dana Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Beliau merupakan bekas Perdana Menteri kedua yang didakwa di mahkamah berkaitan tuduhan kes rasuah selepas Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn. Bhd.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber memberitahu, sebanyak empat pertuduhan terhadap Muhyiddin berkaitan salah guna kuasa.
“Selain itu, tiga lagi adalah pendakwaan membabitkan pengubahan wang haram.
“Kesemua wang yang didakwa diterima Muhyiddin itu telah dimasukkan ke dalam akaun milik Bersatu,” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan mengenai pertuduhan ke atas Muhyiddin di mahkamah hari ini.
Kata beliau, cadangan pertuduhan itu dibuat selepas pihaknya selesai mengambil keterangan Ahli Parlimen Pagoh itu semalam.
“Ya, beliau akan didakwa esok (hari ini),” katanya secara ringkas ketika dihubungi di Utusan Malaysia.
Dalam perkembangan berasingan, Muhyiddin juga memfailkan permohonan untuk mencabar pembekuan akaun Bersatu dan larangan perjalanan yang dikenakan terhadapnya kelmarin.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan semalam di Mahkamah Tinggi di sini secara dalam talian pada pukul 8 malam melalui firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Company.
Menurut afidavit yang difailkan, Muhyiddin selaku pemohon kedua mendakwa sejak Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menjadi kerajaan telah wujud satu konspirasi melalui tohmahan palsu dan fitnah jahat telah disebarkan demi menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam dan menyemarakkan keresahan rakyat terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu dan parti tersebut.
Terdahulu, Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 11.15 pagi semalam bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana Jana Wibawa sebelum ditahan pada pukul 1 petang sebelum didakwa hari ini.
Sepanjang tempoh itu, lebih 100 penyokong termasuk pemimpin PN berkumpul di luar bangunan SPRM sejak pukul 9 pagi semalam bagi menyatakan sokongan kepada beliau.
Sebelum ini, bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan kes rasuah membabitkan dana Jana Wibawa bernilai RM232 juta.
Sementara Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad turut didakwa dengan lima pertuduhan melibatkan dana yang sama bernilai jutaan ringgit.
Jumaat lalu, Utusan Malaysia mendedahkan kertas siasatan membabitkan akaun Bersatu sudah berada di fasa terakhir untuk dilengkapkan dengan cadangan pertuduhan terhadap individu tertentu.
Siasatan SPRM mendapati ada pihak yang ‘membelanjakan’ jumlah tertentu dana itu.
Isu penyelewengan dana kerajaan mula tercetus ketika PRU15 apabila parti-parti dalam gabungan tersebut didakwa berbelanja besar.
Pada 23 Februari lalu, Utusan Malaysia mendedahkan SPRM meneliti jejak wang RM50 juta sama ada digunakan Bersatu semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu atau kemungkinan masuk ‘ke poket sendiri’.
Pada 3 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan baki RM260 juta daripada lebih RM300 juta dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang disyaki diterima Bersatu dipercayai dibelanjakan semasa PRN dan PRU15.
Siasatan SPRM berhubung perkara itu difokuskan dalam pelbagai sudut untuk mengesan jejak kewangan bagi tujuan mengetahui punca dan aliran wang yang telah dibelanjakan termasuk kemungkinan ia diberikan kepada pemimpin parti-parti komponen di bawah Perikatan Nasional (PN) dan pelbagai kegunaan lain.
Sebahagian daripada dana RM300 juta tersebut dipercayai dimasukkan oleh syarikat-syarikat atau kontraktor ke dalam akaun Bersatu ketika tempoh pemerintahan PN sejak 2020 hingga tahun lalu.
PN ialah gabungan lima parti iaitu Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Gabungan tersebut dipengerusikan oleh Muhyiddin.
Isu penyelewengan dana kerajaan mula tercetus ketika PRU15 apabila parti-parti dalam gabungan tersebut didakwa berbelanja besar.
Pada 2 Februari lalu, SPRM membekukan akaun bank Bersatu bernilai lebih RM40 juta bagi membantu siasatan penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.
Pembekuan itu dilakukan apabila Bersatu dipercayai menerima lebih RM300 juta wang yang dipercayai daripada dana kerajaan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, semakan dalam akaun yang dibekukan hanya menemukan wang RM40 juta manakala baki RM260 juta masih dijejaki.
Sumber : Utusan Malaysia