'Muhyiddin tahu RM25.3 juta masuk akaun BERSATU tapi sengaja pejamkan mata'

Tarikh: 26/11/2026
img

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, dimaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tahu mengenai wang RM25.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun BERSATU oleh tiga syarikat kontraktor dan seorang pengarah sebagai suapan berkaitan projek Jana Wibawa, namun sengaja 'memejamkan mata'.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata Presiden BERSATU itu tahu mengenai kemasukan wang berjumlah besar ke dalam kedua-dua akaun CIMB dan AmBank milik parti berkenaan yang mencurigakan, memandangkan transaksi itu berlaku dengan kerap dan membabitkan nombor siri cek yang berturutan.

Sebagai pemegang amanah yang mempunyai akses terhadap akaun parti, beliau berkata, Muhyiddin sepatutnya mengambil langkah memastikan sumber wang berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan rasuah atau salah guna kuasa.

"Dalam kes ini, tertuduh 'willfully shut his eyes on what obvious' (sengaja memejamkan mata pada perkara yang jelas).

"Tertuduh bukan boneka atau ahli biasa dalam BERSATU, tetapi pemegang amanah, mempunyai akses terus dan autoriti terhadap akaun parti politik yang dipimpin beliau.

"Jika tertuduh mengambil sedikit usaha untuk menyemak sumber wang RM25.3 juta itu, beliau sudah tentu akan tahu bahawa transaksi-transaksi berkenaan membabitkan individu atau syarikat yang sama yang memohon sokongan (untuk projek Jana Wibawa) melalui surat-surat yang dihantar terus kepada beliau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hujahan lisan kes salah guna kedudukan untuk suapan membabitkan Muhyiddin.

Wan Shaharuddin berhujah, Muhyiddin juga mewujudkan konflik kepentingan antara kedudukannya sebagai Perdana Menteri ketika itu dan Presiden BERSATU apabila meminta kontraktor menyalurkan sumbangan terus ke akaun bank parti berkenaan.

Katanya, perkara itu berlaku ketika pertemuan Muhyiddin dengan saksi ke-27 pendakwaan (SP27) yang juga Pengarah KCJ Engineering Sdn Bhd, Datuk Seri Azman Yusoff, di Tropicana Golf Club.

Pada pertemuan itu, beliau berkata, Azman bertanya kepada Muhyiddin mengenai projek untuk kontraktor Bumiputera bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum tertuduh memaklumkan kerajaan sudah meluluskan program Jana Wibawa.

"Tertuduh turut meminta SP27 mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu daripada Pejabat Perdana Menteri dengan berjumpa Timbalan Ketua Setiausaha Sulit (TKSUS), Asmar Asmadi Abdullah Sani.

"Tertuduh (didakwa) kemudian secara spontan menyatakan sekiranya terdapat ahli Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia atau kontraktor yang ingin membuat sumbangan, mereka boleh menyumbang terus kepada BERSATU.

"Tindakan itu (didakwa) menunjukkan tertuduh telah mewujudkan konflik kepentingan antara kedudukannya sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden BERSATU," katanya.

Wan Shaharuddin berhujah, tindakan itu menunjukkan tujuan Muhyiddin membuka laluan kepada KCJ Engineering, Nepturis Sdn Bhd dan Sutracom untuk memasuki proses penilaian Jawatankuasa Penilaian Jana Wibawa di Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, tindakan Muhyiddin itu juga perlu dilihat bersama keterangan Azman serta dua saksi lain, iaitu Pengarah Urusan Mamfor Sdn Bhd, Shahradzi Shamsuddin (SP20), dan Pengarah Metrasys Sdn Bhd serta pengasas Nepturis Sdn Bhd, Lian Tan Chuan (SP21).

Katanya, ketiga-tiga individu berkenaan mempunyai kaitan dengan kemasukan RM25.3 juta ke dalam akaun BERSATU selepas pertemuan di Tropicana Golf Club.

"Fakta ini adalah asas untuk mengaktifkan anggapan undang-undang bawah Seksyen 23(2) Akta SPRM bagi membuktikan elemen penting pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) akta sama," katanya.

Muhyiddin, 79, menghadapi tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd, serta Azman berkaitan Projek Jana Wibawa.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, Muhyiddin diwakili peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Chetan Jethwani.

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan 1 Disember depan untuk hujahan balas pihak pembelaan.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel