PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR), Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin dipanggil semula ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini, dipercayai berkaitan pengisytiharan harta.
Beliau yang hadir bersama dua peguamnya memasuki pekarangan bangunan suruhanjaya itu pada jam 11 pagi tadi.
Setakat jam 1 tengah hari tadi, urusan beliau di SPRM masih belum selesai.
Difahamkan, kehadiran beliau adalah bagi menerima notis pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.Sebelum itu, Nazir Hussin ketika ditemui memaklumkan, permohonan injunksi sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam bagi menghalang pelaksanaan arahan mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Beliau turut mendakwa mungkin ditahan SPRM sambil menggesa agensi itu menghormati proses undang-undang dan menunggu keputusan mahkamah berhubung permohonan injuksi yang dibuat semalam.
Media pada 1 Oktober lalu melaporkan, dua ahli korporat adik beradik masing-masing bergelar Datuk Seri dan Datuk direman lima hari bagi membantu siasatan kes disyaki bersubahat menyeleweng serta menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan kira-kira RM10 juta.
Difahamkan, siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama pada penghujung 2020.
Sumber dilaporkan berkata, SPRM turut menyita pelbagai aset dan barangan termasuk 15 kereta mewah serta 12 motosikal berkuasa tinggi dalam siasatan berkenaan.
Turut disita lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000.
Sumber : Berita Harian Online