Op Daya: Lebih 1,600 syarikat dalam radar SPRM

Tarikh: 19/06/2026
img

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,638 syarikat berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit dalam kes pemalsuan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 dianggarkan bernilai mencecah RM45 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata pihaknya bagaimanapun memberi tumpuan kepada 143 syarikat yang dikenal pasti pada fasa awal siasatan sehingga membawa kepada penahanan 97 individu menerusi Op Daya.

"Dalam unjuran awalan kami, saya menyatakan bahawa sebanyak 143 syarikat dikenal pasti setakat ini tapi dalam risikan dan juga penyiasatan yang kami lakukan, terdapat 1,638 syarikat sebenarnya.

"Dari segi unjuran 'dolar dan sen' adalah merangkumi jumlahnya (sebanyak) RM45 juta," katanya pada sidang media mengenai perkembangan siasatan Op Daya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, operasi itu masih berjalan dan akan diteruskan sehingga semua siasatan yang diperlukan selesai.

Katanya, SPRM akan terus mengesan individu dan syarikat yang disyaki menyalahgunakan program yang diperkenalkan bagi menyokong peluang pekerjaan serta membantu perniagaan.

BH sebelum ini melaporkan seramai 73 individu yang terbabit dalam kes pemalsuan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai kira-kira RM9 juta ditahan SPRM.

Difahamkan, mereka terbabit berusia 20-an hingga 70-an adalah ejen dan pemilik syarikat yang bertanggungjawab dalam kes berkenaan.

Semua mereka iaitu 48 lelaki dan 25 wanita ditahan SPRM di seluruh negara, kecuali Perlis.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel