PUTRAJAYA: Data individu digunakan tanpa pengetahuan dan menyalahguna maklumat orang kurang upaya (OKU) antara modus operandi yang dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes pemalsuan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata siasatan yang dijalankan membabitkan pemilik syarikat, ejen dan akauntan menerusi Op Daya itu berhasil mengesan taktik mengeksploitasi data individu bagi mengemukakan permohonan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Antara taktik utama yang dikenal pasti ialah penggunaan data peribadi individu tanpa pengetahuan mereka bagi mengemukakan tuntutan di bawah program berkenaan.
"SPRM turut mendapati terdapat pekerja yang hanya menerima bayaran sekali sahaja antara RM50 hingga RM2,400, sedangkan tuntutan insentif penuh dikemukakan atas nama mereka.
"Dalam kes lain, maklumat pemohon OKU didakwa disalahgunakan apabila bayaran disalurkan kepada pihak ketiga dan bukannya kepada penerima yang sepatutnya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
8 bulan risikan
Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, siasatan menerusi Op Daya mendapati 143 syarikat mengemukakan permohonan palsu kepada PERKESO antara 2024 hingga 2025, membabitkan 320 individu yang didakwa sebagai pekerja.
Katanya, operasi yang dilancarkan pada 9 Jun lalu selepas lapan bulan risikan dijalankan dan siasatan mendedahkan beberapa kaedah digunakan untuk mendapatkan insentif yang diperuntukkan kepada golongan rentan, termasuk orang kurang upaya (OKU), individu parol dan warga emas berusia lebih 60 tahun.
"Siasatan turut mendapati ada akauntan yang menguruskan syarikat 'enterprise' mengemukakan permohonan dengan persetujuan pemilik syarikat, yang hanya menerima komisen walaupun tidak mengetahui identiti pekerja yang didaftarkan di bawah program itu," katanya.
63 kertas siasatan dibuka
Setakat semalam, SPRM sudah membuka 63 kertas siasatan dan menahan 97 individu, terdiri daripada 11 ejen serta 86 pemilik syarikat.
Daripada jumlah itu, seramai 77 individu direman bagi membantu siasatan.
SPRM turut merekodkan keterangan 577 saksi, menyita aset alih bernilai RM74,198 serta membekukan 36 akaun syarikat yang mengandungi wang berjumlah RM463,076.92.
Abd Halim berkata, siasatan awal menunjukkan tuntutan palsu itu dilakukan antara ejen, pemilik syarikat dan orang tengah yang memanipulasi syarat program bagi memperoleh keuntungan kewangan.
Beliau berkata, siasatan SPRM akan diteruskan bagi mengenal pasti unsur jenayah serta kelemahan tadbir urus yang lebih meluas berkaitan skim berkenaan.
Analisis AI bantu PERKESO kesan permohonan tuntutan palsu
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) berjaya membantu pihaknya mengesan tuntutan palsu.
Bahagian Anti-Penipuan PERKESO mula meneliti tuntutan pada penghujung 2024 menggunakan teknologi AI yang diterapkan dalam sistem dalaman agensi itu.
"Analisis itu mengenal pasti corak yang mencurigakan dan mendorong PERKESO menyerahkan maklumat berkaitan dakwaan tuntutan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos tahun lalu untuk tindakan lanjut.
"Analisis AI itu dibantu dengan maklumat yang disalurkan pemberi maklumat, berhasil mengesan kes tuntutan palsu ini," katanya.
Sumber : Berita
Harian Online