Op Liter: SPRM beku akaun bank RM36 juta

Tarikh: 29/08/2024
img

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku akaun bank milik pengusaha stesen minyak dan pegawai penguatkuasa termasuk pengarahnya membabitkan nilai RM36 juta.


Ia susulan SPRM melancarkan Op Liter membanteras sindiket penyeludupan diesel bersubsidi yang dipercayai menyeleweng bahan milik persatuan nelayan itu serta membayar rasuah kepada penguatkuasa di Sibu, Sarawak Ahad lalu.


Menurut sumber, setakat jam 5 petang semalam, sebanyak RM36 juta wang yang berada di dalam akaun bank mereka sudah dibekukan.


"Ia susulan penahanan dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak, pembantu penguatkuasa dan pengarah sebuah agensi penguakuasaan.


"Setakat ini juga tiada penahanan baharu dan tiada rampasan lain dilakukan," katanya kepada Harian Metro hari ini.


Sumber berkata, pengusaha stesen minyak yang direman empat hari sebelum ini dibebaskan dengan jaminan hari ini selepas tempoh remannya tamat.


Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.


Sebelum ini, pengarah agensi penguatkuasaan di Kuching kerana dipercayai menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Sibu.


Suspek lelaki yang berusia lingkungan 40-an ditahan di Pejabat SPRM Sarawak kira-kira jam 6.20 petang.


Harian Metro Ahad lalu juga melaporkan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi yang dipercayai menyeleweng bahan milik persatuan nelayan itu serta membayar rasuah kepada penguat kuasa di Sibu, Sarawak, digempur SPRM.


Serbuan dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) dan Skuad Taktikal Khas SPRM di sebuah depoh penyimpanan minyak di Sungai Bidut, Sarawak itu turut menahan lima individu termasuk pengusaha stesen minyak.


Operasi dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menyita dua tongkang serta beberapa tangki minyak yang mengandungi kira-kira 1.6 juta liter diesel.


Dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak kemudian direman kerana dipercayai terbabit sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.


Selain itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM3.7 juta susulan tangkapan itu.



Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel