Kuala Lumpur: Wanita warga Myanmar direman empat hari berhubung kes membabitkan sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan yang sepatutnya.
Perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 29 Ogos ini terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 50-an ditahan kira-kira jam 12 tengah malam tadi di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan.
"Reman terhadap suspek ini adalah susulan penahanan 11 individu termasuk empat penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa yang berkhidmat di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu lalu menerusi Op Pump yang dijalankan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.
"Kesemua yang ditahan dipercayai terbabit rasuah membabitkan sindiket membawa masuk warga asing tanpa mengikut pemeriksaan yang sepatutnya," katanya.
Menurut sumber, susulan tangkapan itu, SPRM turut menyita satu unit telefon bimbit.
Dalam pada itu SPRM turut mendapat kebenaran untuk menyambung reman seorang individu warganegara Myanmar selama lima hari sehingga 29 Ogos 2024.
Perintah sambung reman terhadap suspek yang berusia lingkungan 30-an dikeluarkan Penolong Pendaftar Nadiah Abd Razak selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.
Sebelum ini, suspek itu direman selama lima hari bermula 21 Ogos lalu bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Sumber: Harian Metro