Op Sky: SPRM sahkan 3 selebriti hanya dibayar khidmat, tak terbabit operasi syarikat

Tarikh: 12/02/2025
img

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiga selebriti disiasat hanya menerima bayaran atas perkhidmatan termasuk duta, bukan terbabit menguruskan kegiatan syarikat ditumpaskan dalam Op Sky, baru-baru ini.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata mereka akan menjadi saksi dalam siasatan dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML).


“Mereka dipanggil untuk membantu menjadi saksi kerana selebriti ini digunakan untuk mempromosikan syarikat, tetapi tidak terbabit dalam menguruskan aktiviti dilaksanakan.


“Siasatan juga mendapati ada sejumlah wang dikeluarkan untuk membayar selebriti ini, tetapi bayaran diterima itu adalah dibuat atas khidmat mereka dalam syarikat itu,” katanya menurut Berita Harian.


Pada 6 Feb, SPRM mengambil keterangan daripada pelakon dan pengacara Jalaluddin Hassan, penyanyi Siti Roziana Zain atau lebih dikenali Ziana Zain, dan Angkasawan Negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.


Mereka disoal siasat selama empat jam.


Sebelum ini, media melaporkan beberapa selebriti dan artis yang menjadi duta menerima bayaran sehingga RM400,000.


SPRM berkata, selebriti berkenaan didakwa menerima bayaran bermula sekitar RM150,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat.


Agensi antirasuah itu mendedahkan RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket yang kononnya menawarkan bantuan kewangan, tetapi mengaut sekurang-kurangnya 35% daripada jumlah pinjaman diluluskan bank-bank pada satu masa.


Dalam operasi itu, 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM.


Sumber: FMT Reporters

MACC FM
My Anti-Corruption Channel