Kuala Lumpur: Sebanyak 100 kenderaan mewah termasuk McLaren dan Ferrari yang dibawa keluar dari Langkawi, Kedah 'diburu' Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kenderaan itu sedang dicari dalam operasi khas SPRM yang dijalankan selepas pemiliknya dipercayai bersekongkol dengan sindiket untuk membawa keluar kereta itu dari Langkawi dengan mendapat pengurangan duti kereta mewah secara tidak sah sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit.
Menurut sumber, siasatan pihaknya mendapati ada 100 kenderaan mewah yang berada di atas jalan raya di seluruh negara selepas dibawa keluar dari Langkawi oleh sindiket terbabit.
"Kenderaan ini ada yang dibeli pada 2015 lagi dan mendapati ada yang sudah bertukar pemilik asalnya hingga ke pemilik ketiga," katanya.
Sumber berkata, SPRM akan mengesan individu yang bersubahat dengan sindiket untuk mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah dari Langkawi.
"SPRM sudah mengumpul dokumen berkaitan kenderaan mewah terbabit bagi mengesan kenderaan itu dan membantu siasatan.
"Siasatan akan diteruskan bagi membawa pulang kembali ketirisan wang cukai kerajaan oleh sindiket terbabit," katanya.
Menurutnya, pihaknya akan mengadakan fasa kedua operasi khas itu untuk diambil tindakan.
"Dalam fasa pertama operasi khas yang dijalankan di utara negara ini pada 13 Julai lalu, kami berjaya menyita 20 kereta mewah.
"Hasil operasi itu, SPRM berjaya menumpaskan satu sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta.
"Dalam operasi itu, tujuh individu berjaya ditahan di Kedah dan mereka yang dikesan ini adalah ejen sebuah agensi kerajaan yang bersubahat dengan mengemukakan maklumat palsu.
"Siasatan SPRM mendedahkan suspek itu bersubahat bersama pemilik kereta terbabit dengan mengemukakan dokumen yang mempunyai maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sumber: Harian Metro