KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima aduan rasmi daripada sebuah syarikat pengeluar tayar dari Itali berhubung dakwaan kegiatan penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen import-eksport ke negara ini sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata aduan itu menjadi asas kepada siasatan awal yang dijalankan bersama Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF).
"Setakat ini kita sudah merakam tujuh percakapan. Namun, tiada sebarang tangkapan dibuat kerana siasatan dijalankan mengikut prosedur biasa terlebih dahulu.
"Siasatan merangkumi aspek pemalsuan dokumen Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), penipuan ikrar, ketulenan tayar yang diimport dan juga implikasi cukai.
"Saya sendiri mengarahkan supaya tiada tangkapan dibuat, hanya jalankan siasatan terhadap kegiatan serta menyita dan pembekuan akaun-akaun berkaitan sementara menunggu hasil siasatan," katanya kepada pemberita di Balai Berita ketika hadir menjadi tetamu dalam segmen Malaysia Hari Ini (MHI), hari ini.
Semalam, SPRM menggempur beberapa syarikat yang dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai sekitar RM350 juta sejak tahun 2020 hingga kini.
Serbuan itu dilakukan susulan pendedahan BH baru-baru ini mengenai pengabaian aspek keselamatan mekanikal kenderaan khususnya membabitkan isu tayar yang menjadi antara punca utama kemalangan ngeri di negara ini.
Walaupun kejadian 'tayar terbang' sering dilaporkan, namun Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya dan Permotoran Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri menyifatkan tindakan pencegahan oleh pihak berkuasa dilihat masih hambar.
Malah, Jamil turut menyifatkan kejadian 'tayar terbang' itu umpama bom jangka kerana ia boleh berlaku tanpa diduga.
Dalam pada itu, Azam berkata, tumpuan SPRM buat masa ini adalah kepada usaha mendapatkan semula aset dan wang daripada syarikat terbabit bagi dipulangkan semula kepada negara.
"Kita melihat kes ini dengan penuh sensitiviti kerana ia membabitkan aduan daripada pengeluar tayar luar negara. Justeru, siasatan perlu dilakukan segera dan menyeluruh," katanya.
Mengulas mengenai modus operandi digunakan, Azam berkata, taktik licik yang dipercayai digunakan oleh pihak berkenaan adalah dengan teknik 'menyulam' iaitu mengikrarkan sebahagian tayar yang diimport, manakala sebahagian lagi diseludup tanpa diikrarkan.
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan turut memalsukan dokumen import bagi menyembunyikan jumlah sebenar tayar yang dibawa masuk ke negara ini.
"Modus operandi mereka ialah mencampur tayar yang diikrarkan dengan tayar yang tidak diikrarkan. Dokumen palsu digunakan untuk menutup jumlah sebenar atau menukar jenama tertentu," katanya.
Beliau berkata, sekiranya siasatan mendapati terdapat pembabitan pegawai daripada mana-mana agensi kerajaan, tindakan sewajarnya akan diambil tanpa kompromi.
"Kita mahu pastikan pihak yang benar-benar terbabit dalam penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen ini dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Sumber: Berita Harian Onine