Orang politik, bekas pegawai kanan ejen kaut untung perolehan kerajaan

Tarikh: 23/02/2026
img

KUALA LUMPUR: Orang politik, bekas pegawai kanan kerajaan, serta perunding tiruan dikenal pasti sebagai ejen atau orang tengah yang berperanan dalam sesebuah projek atau perolehan kerajaan.

Mereka beroperasi dengan pelbagai cara, termasuk menjadi pemudah cara atau 'runner', bertanggungjawab memastikan keuntungan perolehan kerajaan berpihak kepada pihak tertentu.

Sumber berkata, ejen dan orang tengah ini aktif melobi tender projek dan memastikan perolehan bernilai tinggi dimenangi oleh mereka, dengan tujuan menggandakan keuntungan yang akhirnya terpaksa ditanggung bukan hanya oleh kerajaan, tetapi juga rakyat Malaysia.

"Dalam agensi penguatkuasaan negara, orang tengah ini akan menggunakan pelbagai langkah untuk merekrut kakitangan kerajaan dengan habuan yang lumayan.

"Mereka akan menggunakan apa sahaja cara untuk masuk atau kekal dalam organisasi itu, supaya urusan mereka dapat dilaksanakan dengan mudah. Penguat kuasa yang mempunyai integriti lemah seringkali akan melindungi ejen ini demi keuntungan mereka," katanya kepada BH, semalam.

Sumber berkata, kehadiran orang tengah ini menjadi punca kepada pelbagai masalah yang ditanggung oleh rakyat Malaysia, terutama dalam isu kepenggunaan.

Sebagai contoh, kenaikan kos bahan yang akhirnya dipikul oleh rakyat berpunca daripada kualiti perkhidmatan yang terpaksa dikompromi disebabkan oleh pembabitan ejen yang mengawal sistem, termasuk spesifikasi dan penentuan harga siling.

Kelmarin, BH melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan ejen atau orang tengah sindiket jenayah, kini bukan sekadar menjadi perantara kegiatan rasuah dengan sindiket, tetapi turut menjadi 'bendahari gelap' yang menguruskan wang haram kakitangan kerajaan yang korup.

Difahamkan, modus operandi itu berleluasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan operasi drastik dilakukan pihak berkuasa khususnya SPRM, memandangkan ada agensi kerajaan khususnya jabatan penguatkuasaan itu adalah 'lubuk emas' bagi sindiket.

Antara modus operandi yang dikesan adalah ejen dan orang tengah mengatur transaksi wang haram penguat kuasa yang terbabit sekiranya mereka bekerjasama dengan sindiket.

Setiap kali urusan itu berlaku, wang haram berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun keldai yang dipinjam atau dibeli ejen, yang akhirnya dapat diakses oleh kakitangan awam untuk berbelanja atau membeli barangan mewah. Ia bertujuan memastikan aktiviti itu tidak dikesan oleh pihak berkuasa.

Situasi membimbangkan

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, menyifatkan peranan ejen dan orang tengah dalam agensi awam negara semakin membimbangkan.

Beliau mengakui situasi ini menjadi punca integriti penguat kuasa negara korup disebabkan habuan rasuah yang tidak berkesudahan dan budaya integriti sukar diperkasakan walaupun pelbagai tindakan dilaksanakan SPRM atau agensi penguatkuasaan berkenaan.

Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, mendedahkan, ejen dan orang tengah dalam organisasi kerajaan kini semakin bijak dan tidak lagi berurusan secara langsung dengan kakitangan kerajaan yang korup.

"Ejen dan orang tengah dalam agensi penguatkuasaan dan perolehan negara sudah menjadi indikator rasuah tahap kedua (second-layer corruption), kerana jika sebelum ini pegawai korup berurusan secara langsung, kini mereka bekerjasama dengan pelbagai istilah.

"Mereka kini digelar sebagai proksi luar, konsultan palsu, runner atau pemudah cara malah syarikat 'shell' yang meragukan.

"Mereka ini bukan sekadar penghubung transaksi sebaliknya sebagai 'bendahari gelap' kepada pihak berkuasa malah turut berperanan sebagai pelindung identiti pegawai korup dan penyusun rundingan tender," katanya.

Katanya, dalam sektor perolehan pula kehadiran mereka lebih terancang, tersusun dan berlapis kerana ejen dan orang tengah mengawal akses kepada maklumat tender awal, spesifikasi teknikal, penentuan harga siling, pembahagian projek secara kartel.


Sumber : Berita Harian Online


MACC FM
My Anti-Corruption Channel