Padah minta 'ang pau', pegawai tadbir MPAG didenda RM2,000

Tarikh: 14/08/2024
img

MELAKA: Pegawai Tadbir Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas dua kesalahan menerima barang berharga daripada pengurus sebuah syarikat pengiklanan bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan di majlis perbandaran itu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas meneliti rayuan tertuduh, Mohd Rozaiman Rahmat, 45, yang menukar pengakuan kepada bersalah terhadap dua daripada tiga pertuduhan dihadapinya sebelum ini.

Elesabet turut menimbangkan rayuan tertuduh, hujah pendakwaan serta fakta kes berkenaan secara keseluruhan dalam penghakimannya itu.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan ketiga, Mohd Rozaiman didakwa menerima barang berharga iaitu wang tunai berjumlah RM900 (ketika bertugas di Unit Penguatkuasaan dan Unit Kutipan Tunggakan MPAG) melalui pindahan wang ke akaun banknya daripada pengurus Syarikat Pusat Pengiklanan Prisma, Ong Ah Siong, tanpa balasan dengan mengetahui ia mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 31 Mac 2022 dan 18 April 2023 di Maybank Cawangan Alor Gajah, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan sudah insaf atas kesalahan dan berjanji tidak mengulanginya selain perlu menyara isteri dan dua anak masih bersekolah, bapa uzur dan ibu mentua yang sakit.

"Saya dengan rendah diri merayu hukuman ringan atas kesalahan kali pertama ini. Saya tahu dan mendapat pengajaran amat berguna atas kesalahan dilakukan dan tiada niat mencabuli undang-undang.

"Tindakan saya menjejaskan keluarga yang bergantung harap kepada saya, pohon mahkamah ringankan hukuman," katanya sebak.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob dan Noor Julieana Yahaya memohon hukuman berat dikenakan kepada tertuduh yang kini digantung tugas dan dibayar separuh gaji.

"Kesalahan rasuah amat serius, tertuduh sebagai penjawat awam sepatutnya menunjukkan teladan kepada masyarakat dengan menjauhi rasuah, namun sebaliknya (terima rasuah)," katanya.

Hakim Elesabet kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau dua bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan ketiga jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun bagi pertuduhan kedua iaitu menerima RM2,000 daripada Ong pada 6 September 2022, melalui pindahan wang ke akaun di cawangan bank sama, tertuduh dilepas dan dibebaskan atas pertimbangan atau 'take into consideration' (TIC) oleh mahkamah selaras dengan peruntukan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah selepas dimaklumkan pendakwaan.

Mengikut fakta kes Mohd Rozaiman mula berkhidmat di MPAG pada 2007 sebagai Penolong Pegawai Undang-Undang sebelum ditugaskan ke Jabatan Penguatkuasaan MPAG dari 2017 hingga September 2022 dan Ketua Unit Kutipan Tunggakan (Oktober 2022).

Dia mengenali Ong Ah Siong sejak 2012 dan semakin rapat apabila sering membantu penama yang berdepan masalah dengan pihak Imegresen sekitar 2020.

Sekitar 2022, tertuduh ada meminta Ong menghantar sebut harga bagi kerja pembekalan serta berurusan secara tidak rasmi berkenaan pembekalan dilakukan penama di Unit Penguatkuasaan MPAG.

Dalam tempoh tertuduh bertugas sebagai Pegawai Tadbir di Jabatan Penguatkuasaan MPAG (2022), Ong ada melakukan tiga kerja pembekalan bernilai keseluruhan RM7,041 di jabatan berkenaan melalui syarikat Pusat Pengiklanan Prisma miliknya.

Didapati tertuduh tiada sebarang peranan dalam pembekalan itu, namun ada meminta dan menerima wang RM400 dan daripada penama.

Semasa tertuduh bertugas sebagai Ketua Unit Kutipan Tunggakan pada 2023, Ong melakukan tiga lagi kerja pembekalan di jabatan berkenaan berjumlah RM5,265 dan tertuduh terbabit dalam proses baucar bayaran.

Tertuduh ada menghubungi Ong dan bertanyakan sama ada ada wang 'ang pau' untuknya dan penama mengesahkan membuat pindahan wang RM500 ke akaun lelaki itu.


Sumber: Berita HarianĀ 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel