Padah minta upah dapatkan tiket penerbangan umrah

Tarikh: 10/08/2023
img

KUALA LUMPUR: Padah meminta upah bagi mendapatkan 6,051 tiket penerbangan umrah, seorang bekas penyelia syarikat pelancongan didakwa atas 11 tuduhan rasuah di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini.

 

Bagaimanapun, Muhammad Fariz Jamaluddin, 35, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

 

Muhammad Fariz dituduh secara rasuah meminta dan menerima masing-masing satu telefon bimbit Samsung Galaxy Z Fold 4 serta iPhone 14 Pro Max ITB bernilai RM15,598, selain wang tunai RM110,280 dan satu set lensa kamera bernilai RM6,600.

 

Bapa kepada dua anak itu didakwa meminta dan menerima suapan itu daripada tiga pengarah urusan syarikat pelancongan sebagai upah membantu mendapatkan tiket penerbangan Saudi Airlines bagi urusan jemaah mengerjakan umrah.

 

Kesalahan dilakukan di beberapa lokasi termasuk restoran dan rumah tertuduh di ibu negara pada tahun ini, 2022 dan 2019 mengikut Seksyen 16(a)A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin.

 

"Syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

 

"Jumlah jaminan itu sesuai dan wajar, tertuduh juga tidak boleh berinteraksi dengan saksi pendakwaan yang juga rakannya hingga kes selesai," katanya.

 

Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum RM20,000 dengan dua penjamin, namun tidak membantah syarat tambahan dicadangkan pendakwaan.

 

"Jumlah jaminan itu mengambil kira keadaan kewangan anak guam yang adalah penanggung tunggal keluarga, termasuk dua anak berusia lapan serta lima tahun yang tinggal bersamanya.

 

"Tertuduh sudah bercerai dengan isteri pada tahun lalu, manakala bapa meninggal dunia pada 2016 dan ibu yang sudah uzur turut tinggal bersamanya," katanya.

 

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM40,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan dicadangkan pendakwaan, selain menetapkan 18 September ini untuk sebutan semula kes.

 

 

Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel