Kuala Lumpur: Peniaga kedai ubat warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memberi suapan RM400 kepada pembantu penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tidak memiliki lesen perniagaan sah, minggu lalu.
Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas Tareq Rahman, 45, selepas lelaki itu mengaku bersalah dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 10 Ogos lalu serta penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Tareq didakwa memberi suapan wang tunai RM400 kepada Pembantu Penguatkuasa DBKL, Azmi Rosli sebagai balasan dan dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) Perlesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 terhadap premis miliknya kerana kesalahan tidak memiliki lesen perniagaan yang sah.
Kesalahan itu dilakukan di premis di Jalan Tun Tan Siew Sin di sini, 6 petang, 10 Ogos lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras memohon hukuman berat sebagai pengajaran terhadap tertuduh kerana perbuatan memberi rasuah kepada penjawat awam menunjukkan dia tidak menghormati undang-undang negara ini.
"Hukuman berat perlu diberikan kepada tertuduh bagi menunjukkan keseriusan dalam membanteras jenayah rasuah daripada terus berleluasa," katanya.
Tareq yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan masih menanggung dua anak masing-masing berumur 22 tahun dan 24 tahun dan seorang isteri di Bangladesh.
"Saya mohon maaf atas kesalahan dilakukan. Mohon hukuman ringan kerana saya juga menghidap penyakit diabetes dan darah tinggi," katanya.
Kes didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Sumber: Harian Metro