PAKAR gesa siasatan Shamsul Iskandar berjalan tanpa dipolitikkan

Tarikh: 27/11/2025
img

Kuala Lumpur: Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR) yang diterajui bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa siasatan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin perlu berlangsung dengan penuh berintegriti.

Presidennya, Mohd Nasir Ab Hadi berkata, keutamaan itu penting bagi memastikan siasatan oleh SPRM berjalan dengan telus tanpa dipolitikkan oleh pihak tertentu.

Katanya, kes itu tidak wajar dijadikan bahan spekulasi atau dipolitikkan khususnya dalam suasana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"PAKAR memandang serius penularan berita berkaitan tuduhan rasuah membabitkan Shamsul Iskandar yang kini tular di media sosial.

"Kami menegaskan sebarang dakwaan, sama ada terhadap individu atau pihak yang membuat tuduhan, tidak wajar dijadikan bahan spekulasi atau dipolitikkan, khususnya dalam suasana menjelang PRN Sabah. Integriti proses siasatan mesti diberi keutamaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Shamsul Iskandar berkata, tuduhan ke atasnya itu jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej Perdana Menteri dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi di musim kempen pilihan raya Sabah.

Kelmarin, Shamsul Iskandar mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shamsul Iskandar dalam kenyataan di platform X berkata, terdapat percubaan untuk menyerang dirinya dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan MADANI.

Terdahulu, Anwar dalam satu kenyataan hari ini menerima peletakan jawatan Shamsul Iskandar dan menegaskan SPRM bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan luar berhubung tuduhan terhadap bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu.

Mengulas lanjut, Mohd Nasir berkata, Albert yang menjadi pihak membuat tuduhan perlu bertanggungjawab untuk menyerahkan bukti sekiranya mempunyai maklumat kukuh dalam aktiviti rasuah itu.

"Sekiranya pihak yang membuat tuduhan, termasuk ahli perniagaan Albert, mempunyai bukti atau maklumat kukuh, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk mengemukakan laporan rasmi kepada SPRM.

"Langkah ini penting bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh, profesional dan bebas terhadap kedua-dua pihak tanpa prasangka," katanya.

Katanya, PAKAR turut menyeru semua pihak memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan yang telus, adil dan tidak dipengaruhi mana-mana kepentingan.

"Keputusan dan hasil siasatan kelak harus diterima dengan hati terbuka sebagai tanda hormat terhadap prinsip integriti, kedaulatan undang-undang dan keadilan," katanya.


Sumber : Berita Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel