Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tubuh Kumpulan Fokus

Tarikh: 04/10/2024
img

KUALA LUMPUR: Penubuhan 'Focus Group' oleh Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dijangka dapat meningkatkan skor dan kedudukan Malaysia dalam senarai indeks itu dan melonjak kedudukan negara di tangga ke-25 teratas dunia dalam tempoh 10 tahun.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, antara fungsi pasukan berkenaan adalah mencadangkan penambahbaikan dasar kerajaan serta meneliti langkah bagi mempercepat reformasi sektor awam.

Katanya, langkah itu juga bagi meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan terhadap usaha kerajaan dalam pemantapan tatakelola dan anti-rasuah.

"Sebanyak enam bidang yang perlu diberi keutamaan iaitu penguatkuasaan, pengurusan dana awam, daya saing perniagaan, risiko pelaburan, perundangan dan komunikasi strategik.

"Objektif kumpulan fokus yang dianggotai oleh agensi awam, swasta, dewan perniagaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu adalah untuk melaksanakan tindakan berhubung usaha penambahbaikan CPI mengikut bidang keutamaan masing-masing.

"Ia juga bagi melaporkan kepada Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) manakala SPRM bertindak sebagai urus setia Pasukan Petugas Khas CPI," katanya.

Kenyataan itu menyatakan pasukan berkenaan sudah bermesyuarat buat pertama kalinya pada hari ini yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Katanya, perkara berkenaan selaras dengan Teras Keberhasilan Reformasi Pertama: Penghayatan Nilai dan Tatakelola dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan tujuh sasaran utama Ekonomi MADANI.

"Kumpulan fokus berkenaan dianggotai Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC); Kementerian Kewangan; Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Komunikasi.

"Pasukan berkenaan turut dianggotai oleh Ketua-Ketua Setiausaha kementerian yang berkaitan, jabatan dan agensi kerajaan," katanya.

Tambahnya, pasukan berkenaan turut dianggotai barisan pakar yang terdiri daripada Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Wong Chun Wai, Presiden Transparency International-Malaysia, Dr Muhammad Mohan; ahli Panel Penilaian Operasi SPRM, Dr Mazlan Ahmad dan Pensyarah Kanan Sosiologi Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian," katanya.

"Pasukan berkenaan menekankan bahawa usaha meningkatkan CPI menjadi tanggungjawab semua pihak dan bukan semata-mata di bawah SPRM.

"Hasil dapatan pasukan berkenaan akan dilaporkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.


Sumber: Berita Harian


MACC FM
My Anti-Corruption Channel