Pegawai disiasat SPRM ditukarkan ke jabatan lain - DBKL

Tarikh: 11/09/2025
img

KUALA LUMPUR: Pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kini di siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sudah ditukarkan ke jabatan lain dalam memastikan urusan pentadbiran harian kekal lancar.

Dalam satu kenyataan, DBKL memaklumkan pihaknya akan memastikan setiap urusan pentadbiran dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan berintegriti, selaras dengan nilai perkhidmatan awam yang berteraskan amanah rakyat.

"DBKL mengambil maklum kenyataan media yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM berhubung siasatan ke atas seorang pegawai kanan DBKL.

"DBKL ingin menegaskan bahawa kami memandang serius sebarang isu berkaitan integriti, ketelusan dan tadbir urus.

"Sementara siasatan dijalankan, penempatan dan tugasan pegawai yang terbabit sudah diselaraskan bagi memastikan urusan pentadbiran harian kekal lancar.

"Komitmen DBKL adalah untuk memastikan setiap urusan pentadbiran dilaksanakan secara telus selaras dengan nilai perkhidmatan awam yang berteraskan amanah rakyat,"katanya.

Sebelum ini SPRM menahan tiga individu termasuk seorang pegawai kanan DBKL kerana terbabit dalam kegiatan rasuah dipercayai sejak 11 tahun lalu.

Dalam laporan BH sebelum ini mendedahkan, penahanan itu mempunyai kaitan dengan perolehan bagi sebuah projek berkaitan teknologi maklumat (IT).

Susulan penahanan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata sebanyak RM17.5 juta membabitkan 37 akaun bank dibekukan.

Pembekuan itu membabitkan 11 akaun peribadi, 23 akaun syarikat dan tiga akaun saham. Selain itu SPRM turut menyita wang tunai termasuk RM1.15 juta, 12,300 Euro dan 24,280 pound sterling selain dua kereta mewah bernilai RM650,000.


Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel