KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana meminta rasuah kira-kira RM50,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat yang memiliki kenderaan tidak berdaftar.
Difahamkan, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 5 petang semalam di sekitar Lembah Klang.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek didakwa melakukan perbuatan itu hanya pada minggu lalu, tetapi akhirnya ditangkap oleh pasukan penyiasat.
"Pada 23 Jun lalu, suspek meminta wang rasuah sebanyak RM50,000 untuk menutup kesalahan undang-undang membabitkan syarikat itu.
"Suspek juga dikatakan bersetuju untuk menerima wang rasuah secara tunai sebanyak RM15,000 selepas diminta mengurangkan bayaran daripada RM50,000.00," kata sumber.
Suspek yang ditahan itu direman selama tiga hari sehingga Jumaat ini selepas permohonan reman dikeluarkan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sumber : Berita Harian Online