SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan pengurusan fasiliti sebuah syarikat penerbangan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan gagal melaporkan pemberian suapan berjumlah RM1,000 pada tahun lalu.
Tertuduh Mohd Razif Hassan, 35 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan Mohd Razif didakwa telah diberikan suapan wang berjumlah RM1,000 menerusi pindahan atas talian dalam akaun miliknya daripada seorang lelaki berusia 52 tahun.
Ia sebagai balasan untuk mempercepatkan urusan syarikat kejuruteraan milik lelaki berkenaan dengan syarikat penerbangan itu yang juga tempat tertuduh bekerja.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah cawangan bank di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras pada 9 November 2023.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Yasri Yahaya menawarkan jaminan RM2,000 bersama seorang penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap awal bulan serta tidak menganggu saksi pendakwaan.
Peguam Shahidah Muslimah Roslan memohon jaminan dikurangkan kepada RM1,000 memandangkan anak guamnya menanggung isteri dan dua anak berusia 3 dan 7 tahun.
Katanya, tertuduh hanya meraih pendapatan RM3,200 sebulan dan selepas ditolak segala perbelanjaan bulanan hanya tinggal RM1,000.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM1,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan 29 November depan.
Sumber: Berita Harian