KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan sebuah kementerian bergelar Datuk bersama pegawai khas dan pemandunya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan berjumlah kira-kira RM400,000 semalam.
Sumber berkata, ketiga-tiga mereka ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.
Sumber berkata, suspek bergelar Datuk berusia lingkungan 50-an itu adalah Setiausaha Bahagian yang bertanggungjawab mengawal selia sebuah daripada agensi badan berkanun kerajaan.
"Dua yang lain adalah pegawai khas dan pemandu beliau dan semua ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.
"Suspek utama dipercayai melakukan perbuatan itu baru-baru ini dengan mengemukakan kertas cadangan program untuk kelulusan peruntukan dan kemudiannya disalurkan kepada sebuah agensi kerajaan berkaitan," katanya.
Sumber berkata, suspek turut disyaki berpakat dengan orang dalam agensi kerajaan terbabit dan mengeluarkan wang peruntukan berkenaan secara tunai yang bernilai ratusan ribu ringgit dan kemudian digunakan untuk keperluan peribadi.
Berikutan itu, katanya, suspek utama dan seorang lagi ditahan untuk siasatan lanjut serta direman hari ini, manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.
"Suspek bergelar Datuk direman empat hari sehingga Jumaat ini, manakala seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 30-an direman dua hari sehingga esok.
"Seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang juga penjawat awam dibebaskan dengan jaminan," katanya.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Sumber: Berita Harian