Pegawai Pemelihara Hutan didakwa 116 pertuduhan terima rasuah lebih RM640,000

Tarikh: 03/10/2025
img

SEREMBAN: Seorang Pegawai Pemelihara Hutan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas 116 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM649,169.68.

Tertuduh, Nazri Husin, 54, yang bertugas di Pejabat Perhutanan Negeri Sembilan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu selepas ia dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Kanageswari Nalliah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima rasuah sebanyak RM649,169.68 dari 2019 hingga 2023 sebagai upah kerana membantu seorang individu untuk mendapatkan lesen menjalankan kerja-kerja pembalakan sebagai kontraktor pembalakan dalam projek ladang hutan di Hutan Simpan Lesong (Mukim Keratong) Rompin, Pahang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM1 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, atau penjara tidak lebih 20 tahun, atau kedua-duanya.

Prosiding kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Taufik Awaludin, manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Nadia Norrizan.

Hakim menetapkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri setiap bulan di SPRM yang berdekatan.

Mahkamah juga menetapkan 28 November depan untuk sebutan kes.

Sumber : Berita Harian Online



MACC FM
My Anti-Corruption Channel