KUCHING: Sepuluh individu, termasuk lima pegawai penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM600,000 daripada lima individu berbeza.
Sumber berkata, wang sogokan itu disyaki sebagai balasan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kegiatan perjudian haram di Sarawak.
Beliau berkata, semua suspek lelaki berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan antara jam 4 petang hingga 11 malam tadi dalam satu Operasi Khas yang dijalankan SPRM di Sibu dan Kuching.
"Semua pegawai penguat kuasa itu dipercayai melakukan kesalahan kerana melindungi aktiviti perjudian sejak tahun 2019 lagi," katanya.
Beliau berkata, semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching bagi mendapatkan perintah tahanan reman hari ini.
"Majistret Mason Jaro Lenya Barayan mengeluarkan perintah reman selama empat hari sehingga Sabtu ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan 10 individu itu.
"Mereka ditahan reman bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009," katanya.
Sumber: Berita Harian