KOTA BHARU: Enam lelaki termasuk seorang pegawai penguat kuasa sebuah jabatan kerajaan direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan bulanan.
Difahamkan, jumlah suapan bulanan antara RM5,000 sehingga RM10,000 bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi seperti minyak selain barangan seludup lain termasuk rokok.
Perintah tahanan reman terhadap kesemua lelaki berusia 50-an itu dikeluarkan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Mereka direman untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, kesemua lelaki itu ditahan di pejabat SPRM di Jalan Sultan Yahya Petra di sini, antara jam 2 petang sehingga 5 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.
Sumber: Berita Harian