Pegawai penguat kuasa ditahan, disyaki terima rasuah ejen pusat hiburan

Tarikh: 18/10/2024
img

Kuala Lumpur: Seorang pegawai penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM50,000 daripada ejen pusat hiburan.


Sumber berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira 12 tengah malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.


"Berdasarkan siasatan awal, pegawai penguat kuasa terbabit menerima wang rasuah daripada ejen pusat hiburan yang didapati melakukan kesalahan undang-undang kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit sah.


"Suspek disyaki menerima wang rasuah kira-kira RM50,000 yang diberikan secara tunai daripada ejen berkenaan," katanya.


Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Katanya, suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya selesai dirakam.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel