Pegawai Penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang didakwa menerima rasuah

Tarikh: 16/08/2024
img

SHAH ALAM: Seorang Pegawai Penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah.

Azirin Azali Ramli, 48 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Datuk Anita Harun.

Mengikut kertas pertuduhan, Azirin Azali didakwa menerima wang tunai RM2,000 daripada seorang lelaki yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 24 Mei lalu di dalam sebuah kenderaan jenis Lexus bertempat di petak parkir depan premis perniagaan di Hulu Langat.

Azirin didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 165 kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan syarat tambahan.

Ketika rayuan, Peguam Vasudevan Appu yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya seorang penjawat awam dengan pendapatan RM5,700 sebulan.

"Walaupun sudah bercerai, anak guam masih menanggung tiga orang anak yang berusia antara 24 hingga 16 tahun. Dua daripada mereka sedang melanjutkan pelajaran di universiti, manakala anak bongsu masih bersekolah," katanya.

Anita membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan mengenakan syarat tambahan itu melapor diri pada atau sebelum 7 hari bulan setiap bulan di Pejabat SPRM Putrajaya serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 2 Oktober depan untuk sebutan kes.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel