KUALA LUMPUR: Pegawai penyelidik, Mohamad Shafiq Abdul Halim didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi perintah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diperiksa secara lisan berhubung siasatan yang dijalankan oleh agensi itu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Menurut pertuduhan, Mohamad Shafiq didakwa tidak mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh Penolong Penguasa SPRM, Shahidan Muhammad Saparudin mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) supaya hadir di pejabat agensi itu untuk diperiksa secara lisan berhubung siasatan di bawah akta berkenaan.
Mohamad Shafiq, 32, didakwa melakukan perbuatan itu pada 3 Mac lalu di Ibu Pejabat SPRM di No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 48(c) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 69 akta yang sama yang memperuntukkan denda RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Suzana membenarkan Mohamad Shafiq diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes itu disebut pada 7 April ini untuk serahan dokumen.
Beliau membenarkan jaminan RM10,000 yang dipohon oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib selepas peguam Chetan Jethwani yang mewakili tertuduh tidak membantahnya.
Hakim berkenaan turut mengenakan dua syarat tambahan agar pasport diserahkan kepada mahkamah selewat-lewatnya esok sehingga perbicaraan selesai serta tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM terdekat sekali sebulan.
Terdahulu, Chetan memaklumkan pasport tidak dapat diserahkan hari ini kerana isteri tertuduh tidak berada di ibu negara buat masa ini.
Suzana turut mencadangkan pihak pendakwaan memfailkan permohonan rasmi untuk mendapatkan `perintah membisu’ (gag order) bagi melarang Mohamad Shafiq mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berhubung pertuduhan terhadapnya.
Terdahulu, Akram memohon mahkamah mengeluarkan perintah tersebut agar tertuduh tidak membuat sebarang kenyataan yang disifatkan boleh memberi kesan subjudis terhadap kes.
Bagaimanapun, Chetan membantah permohonan tersebut atas alasan ia agak keterlaluan kerana hanya mahkamah yang boleh menentukan isu subjudis seperti yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan.
`Kes ini sudah mendapat perhatian pihak media dan jika pendakwaan bercadang memohon `perintah membisu’, ia harus disertai dengan permohonan rasmi,” ujar Chetan.
Suzana kemudian bersetuju dengan hujah pembelaan agar pihak pendakwaan memfailkan permohonan secara rasmi.
Pada 23 Februari lalu, media melaporkan SPRM menahan individu yang membuat tuduhan bahawa SPRM menawarkan RM10 juta kepada bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk mengaitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kes rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Mohamad Shafiq ditahan selepas hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 3.30 petang sehari sebelumnya.
“Walaupun saya tahu dia telah membuat permohonan maaf dalam Facebook, sekali lagi saya tegaskan, saya secara peribadi tidak ampunkan orang sebegini yang merosakkan reputasi SPRM dengan membuat tuduhan liar.
“Kalau hendak cakap secara jujurnya, mana hendak cari RM10 juta dan beri kepada Wan Saiful. Akibat daripada kenyataan itu dia telah menimbulkan satu spekulasi yang amat tidak baik kepada SPRM dan benda ini tidak boleh dipadamkan, ada yang masih percaya wujud perkara itu,” ujarnya.
Sebelum ini, satu video berdurasi 44 saat yang tersebar di Twitter memaparkan seorang lelaki mendakwa RM10 juta ditawarkan SPRM kepada
Wan Saiful.
Melalui klip video itu, lelaki tersebut mendakwa tawaran itu dibuat SPRM supaya Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menukar kenyataannya dengan mengatakan bahawa beliau menerima arahan daripada Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu untuk menerima wang rasuah.
Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful, 48, mengaku tidak bersalah di di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Sumber : Utusan