Pegawai penyiasat ditahan, minta suapan untuk lepaskan suspek

Tarikh: 21/11/2025
img

Shah Alam: Pegawai penyiasat sebuah agensi penguatkuasaan ditahan kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM3,000 bagi melepaskan suspek.

Sumber berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan di pejabatnya di sini, pada 3.30 petang semalam.

"Suspek dipercayai meminta suapan daripada seorang individu sebagai balasan untuk menolong melepaskan abangnya daripada tindakan undang-undang melibatkan satu siasatan kes penyalahgunaan dadah," katanya hari ini.

Menurutnya, suspek dikatakan meminta suapan itu daripada individu yang menemuinya pada 18 November lalu susulan tangkapan yang membabitkan abangnya dalam kes penyalahgunaan dadah.

"Suspek didakwa mengarahkan individu terbabit datang keesokan harinya dengan membawa wang serta mengambil abangnya yang ditahan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek yang direman tiga hari bermula hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sumber: Berita Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel