Pegawai SPRM diberi tempoh sebulan isytihar harta mulai hari ini - Abd Halim

Tarikh: 01/07/2026
img

KUALA LUMPUR: Setiap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi tempoh sebulan untuk melengkapkan pengisytiharan harta bermula hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, langkah berkenaan akan dilaksanakan berdasarkan Pekeliling Kerahsiaan Maklumat serta Pekeliling Pengisytiharan Harta SPRM.

Beliau berkata, pengisytiharan harta itu akan berkuat kuasa pada hari ini, tetapi setiap pegawai diberi arahan untuk menetapkan tempoh satu bulan bagi setiap pegawai untuk melengkapkan arahan berkenaan.

Perkara itu ditetapkan ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengarah-Pengarah SPRM di Ibu Pejabat SPRM, yang menjadi pertemuan rasmi bersama ketua-ketua bahagian selepas mengambil alih agensi itu sejak 13 Mei lalu.

Dalam mesyuarat itu, Abd Halim juga mengarahkan pengarah-pengarah bahagian agensi itu untuk mengamalkan budaya kerja positif bagi membangunkan bakat-bakat baharu pada masa hadapan dan menggesa satu hala tuju pengurusan yang jelas perlu dilakukan pegawai kanannya.

Beliau memberi ingatan, kejayaan SPRM tidak hanya bergantung kepada operasi semata-mata, sebaliknya pengurusan yang jitu perlu dilakukan.

"Kecekapan pengurusan adalah penanda aras utama kejayaan organisasi, melangkaui pencapaian operasi semata-mata dan kejayaan organisasi ini bukan hanya diukur melalui pencapaian operasi, tetapi juga melalui kecekapan pengurusannya.

"Jadi pengarah-pengarah perlu membangunkan bakat pegawai di bawah seliaan, membentuk budaya kerja positif dan memastikan hala tuju yang jelas," katanya dalam satu kenyataan.

Abd Halim berkata, SPRM akan terus komited untuk memperkukuh pengurusan strategik, hala tuju dan tadbir urus berakauntabiliti.

Malah, katanya, pegawai SPRM yang sudah menjalani latihan di luar negara juga perlu melaksanakan perkongsian ilmu demi meningkatkan kompetensi pasukan secara kolektif.

"Setiap warga kerja juga perlu menyemai rasa kebersamaan yang mendalam terhadap organisasi agar sentiasa proaktif untuk memperbaiki dan meningkatkan prestasi SPRM agar terus relevan, dihormati serta diyakini masyarakat.

"Saya optimis bahawa semangat kebersamaan, akauntabiliti dan komitmen yang tinggi daripada seluruh warga kerja mampu memacu SPRM ke tahap lebih cemerlang," katanya.

Dalam perkembangan itu, antara intipati mesyuarat termasuklah SPRM komited meneruskan langkah penjimatan melalui perbelanjaan berhemah bagi mendepani unjuran kemelesetan ekonomi kesan daripada krisis tenaga global.


Sumber : Berita Harian Online


MACC FM
My Anti-Corruption Channel