Kuala Lumpur: Seorang pekerja am ditahan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki membuat tuntutan palsu
berjumlah kira-kira RM15,000.
Menurut sumber, lelaki berusia 30-an itu ditahan ketika hadir
memberikan keterangan di Pejabat SPRM Selangor, 7.30 malam tadi.
"Suspek yang kini bertugas di sebuah jabatan di Selangor
itu disyaki membuat tuntutan palsu membabitkan kerja pembaikan rumah.
"SPRM menerima aduan bahawa suspek mengemukakan dokumen
tuntutan bayaran yang mengandungi butir matan palsu kepada sebuah pihak
berkuasa tempatan di sebuah daerah di Selangor bagi kerja baik pulih rumah
menerusi syarikat kontraktor sedangkan kerja baik pulih itu tidak dilaksanakan
sepenuhnya," katanya.
Berikutan itu, sumber berkata, suspek ditahan reman selama empat hari bermula
hari ini sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut.
Tempoh reman itu ditetapkan Majistret Muhammad
Syafiq Sulaiman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika
dihubungi mengesahkan penahanan suspek.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sumber: Harian Metro