KUALA TERENGGANU – Gara-gara menipu butir peribadi semata-mata mahu mendapatkan bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) lima tahun lalu, seorang pekerja syarikat pelantar minyak didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mohd. Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Yushafiszam Yusof, 33, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
“Tertuduh wajar dihukum kerana perbuatannya menyebabkan bantuan kepada golongan yang lebih layak tidak dapat disampaikan.
“Jika tidak dibendung, bantuan kerajaan tidak akan sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.
Berdasarkan pertuduhan, Yushafiszam didakwa memberi maklumat palsu berkaitan pendapatan bulanannya bagi permohonan bantuan membina rumah PPRT baharu.
Tertuduh didakwa mendakwa kononnya pendapatan bulanannya cuma RM900 sedangkan sebenarnya purata RM3,800.
Butiran palsu dalam borang tersebut bertujuan untuk memperdaya agensi kerajaan terlibat untuk meluluskan permohonan pembinaan rumah PPRT baharu bernilai RM50,000 di Kampung Talong, Dungun pada Mei 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
sumber dari: KOSMO! ONLINE