Pelaksanaan Perjanjian Penangguhan Pendakwaan perlu telus – MCW

Tarikh: 22/09/2023
img

PELAKSANAAN Perjanjian Penangguhan Pendakwaan (DPA) perlu dilaksanakan dengan telus bagi mengelakkan timbul kebimbangan tentang akauntibiliti dan keadilan.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dalam kenyataan memaklumkan, DPA merupakan kaedah atau alat yang penting dalam menangani kes-kes rasuah.

Begitupun, MCW melihat DPA itu bergantung kepada pelaksanaannya yang telus, bertanggungjawab dan memberi fokus kepada pemulihan harta yang dicuri untuk faedah negara sekaligus mencegah berlakunya perlanggaran undang-undang pada masa akan datang.

“Kelebihan utama DPA adalah untuk mendapatkan harta yang telah diseleweng dengan lebih cepat. Ia akan memberi banyak manfaat kepada negara dan mengurangkan kos yang berkaitan dengan perbicaraan dan masa siasatan yang panjang.

“DPA juga boleh memberi insentif kepada syarikat-syarikat untuk bekerjasama, melaksanakan reformasi dalaman dan mencegah pelanggaran pada masa akan datang,” jelas MCW dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, MCW turut mengingatkan ramai yang mengkritik DPA mungkin terlalu lembut terhadap syarikat-syarikat yang mungkin akan melemahkan aspek pencegahan.

Menurut MCW, mengehadkan DPA kepada syarikat sahaja mungkin mengabaikan pelaku individu yang memainkan peranan penting dalam kes-kes rasuah.

MCW berkata, DPA jelas terbukti berkesan di pelbagai bidang kuasa di seluruh dunia seperti dalam kes Keppel Corporation di Singapura yang menghasilkan denda besar dalam penyelesaian global.

“MCW percaya bahawa DPA tidak harus eksklusif kepada syarikat sahaja. Walaupun ianya penting untuk pematuhan korporat dan pemulihan harta, individu juga boleh memainkan peranan penting dalam kes-kes rasuah.

“DPA harus diterapkan berdasarkan kes demi kes tertentu, mengambil kira tahap keterlibatan individu. Eksklusiviti kepada syarikat sahaja mungkin tidak sesuai dalam kes-kes di mana individu adalah penjenayah utama.

“MCW menyokong penuh inisiatif Tan Sri Azam Baki dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berharap ianya dilaksanakan dengan pertimbangan yang teliti dan pelaksanaan yang bertanggungjawab,” jelas MCW.

MCW menambah, DPA akan dapat berfungsi dengan efektif sebagai sebahagian daripada strategi anti-rasuah yang komprehensif.

Katanya, matlamat utama DPA perlu memfokuskan pemulihan harta yang dicuri dan menangkap penjenayah, sama ada syarikat atau individu.

Sumber: Utusan TV

MACC FM
My Anti-Corruption Channel