Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini mendenda RM8,000 kepada seorang pembantu operasi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM4,500, berhubung penyediaan dokumen Permohonan Perintah Bersih Kebankrapan, dua tahun lepas.
Hakim Azura Alwi turut memerintahkan Mohd Razif Awal, 39, dihukum penjara 10 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
"Saya harap kamu kesal dan insaf dengan apa yang berlaku, serta mengambil pengajaran daripadanya dan mulakan satu kehidupan baru yang lebih membina untuk diri kamu dan keluarga," kata Azura.
Lelaki itu didakwa menerima wang tunai berjumlah RM4,500 ke dalam akaun Maybank milik tertuduh, daripada Christopher Ang Hee Sam sebagai balasan untuk menyediakan dokumen Permohonan Perintah Bersih Kebankrapan di Malayan Banking Berhad di kompleks mahkamah itu, di Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 9.47 pagi, 27 April 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh menghubungi Ang yang merupakan jurujual di Pod Lab Empire Trading dan menyatakan Perintah Bersih Kebankrapan tidak dapat dikeluarkan atas namanya (Ang), berikutan terdapat tunggakan kos penghakiman perlu ditanggung sebanyak RM25,000, kerana gagal menghadiri perbicaraan kebankrapan pada 2017.
Tertuduh yang bertugas di kaunter Bahagian Dagang, Mahkamah Tinggi kemudian meminta wang sebanyak RM5,000 daripada Ang sebagai dorongan untuk menyelesaikan masalah itu, namun jumlah tersebut dikurangkan kepada RM4,500.
Susulan itu, tertuduh memaklumkan kepada Ang bahawa proses pembatalan kebankrapan atas namanya telah selesai dan hanya menunggu perintah bersih dikeluarkan, sebelum Ang memindahkan wang RM4,500 ke akaun Maybank milik tertuduh.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Yunaisvari Vengidasalam memohon hukuman setimpal, bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan perkara sama.
"Langkah-langkah pencegahan perlu diperketat dan ditekankan kepada masyarakat yang mana mahkamah dan undang-undang tidak akan berkompromi dengan kesalahan ini," katanya.
Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum, atas alasan anak guamnya menanggung keluarga serta isterinya yang mengalami masalah kemurungan, perlu menerima rawatan psikiatri.
Sumber: Harian Metro