Pembantu tadbir KPKT didenda RM5,500 kerana rasuah

Tarikh: 21/06/2023
img

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu tadbir Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) didenda RM5,500 kerana menerima RM4,797.50 daripada pekerja syarikat pembekalan makanan untuk menaikkan jumlah peserta dalam invois dituntut syarikat itu daripada KPKT.

 

Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin, membuat keputusan itu hari ini terhadap Nurul Azirah Kamaruddin, 37, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

 

Mahkamah juga memerintahkan wanita berkenaan menjalani hukuman penjara selama sebulan jika gagal membayar denda.

 

Mengikut pertuduhan, ibu kepada lima anak itu sebagai penjawat awam iaitu pembantu tadbir perkeranian dan operasi menerima wang tunai itu daripada lelaki yang ada hubungan dengan tugas rasminya.

 

Kesalahan dilakukan di Maybank Desa Jaya, Kepong pada 21 April 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

 

Mengikut fakta kes, tertuduh menerima bantuan seorang pekerja sebuah syarikat pembekalan makanan bagi menaikkan jumlah peserta Bengkel Akta Pengurusan Strata anjuran KPKT di Langkawi, Kedah daripada 34 kepada 85 orang peserta dalam invois syarikat.

 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor tertuduh adalah penjawat awam yang perlu menjaga nama baik kerajaan.

 

Peguam bela tertuduh, Hamdan Hamzah, memohon denda ringan atas alasan anak guam perlu menjaga lima anak yang masih bersekolah dan anak bongsunya menghidap autisme.


"Tertuduh insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan pada masa akan datang.

 

"Selain itu, anak guam sedang tunggu tindakan disiplin di jabatannya dan mungkin dibuang kerja. Mohon hukuman denda ringan," katanya.



Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel