Penahanan Jasmine Loo: SPRM tunggu siasatan PDRM selesai

Tarikh: 22/08/2023
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk 'menghantar' bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan kepada pihaknya.

 

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya kini sedang menunggu siasatan PDRM terhadap individu yang didakwa sekutu rapat Low Taek Jho atau Jho Low itu selesai sepenuhnya.

 

Beliau berkata, terpulang juga kepada pihak berkuasa itu untuk menyerahkan Jasmine pada bila-bila.

 

"Ya (dihantar kepada SPRM pada bila-bila masa). Terpulang kepada siasatan polis selesai," katanya ringkas kepada BH hari ini.

 

SPRM dan beberapa agensi penguatkuasa negara sebelum ini dilaporkan sedang giat berusaha menjejak dan mengesan aset milik bekas peguam 1MDB, Jasmine dalam melakukan pemulihan aset membabitkan dana 1MDB yang diseleweng dipercayai berada di dalam dan luar negara.

 

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya dijangka akan melakukan banyak rampasan berkaitan siasatan 1MDB susulan penahanan Jasmine pada 7 Julai lalu.

 

Katanya, wanita itu juga memberi kerjasama yang baik kepada PDRM dan pihaknya masih meneruskan siasatan terhadap Jasmine di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

 

Jasmine hanya akan diserahkan kepada SPRM selepas siasatan polis selesai kerana pihak berkuasa itu masih memerlukan beliau untuk melengkapkan banyak siasatan terhadap skandal kewangan berkenaan.

 

Jasmine dikatakan antara sekutu rapat Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang medianya dilaporkan berkata, individu terbabit direman pada Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi.

 

Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu pengarah eksekutif Casey Tang dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

 

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low,Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

 

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

 

 

Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel