Pendakwa Raya kemuka 28 alasan dalam rayuan ketepi pelepasan, pembebasan Syed Saddiq

Tarikh: 23/09/2025
img

PUTRAJAYA: Pendakwa Raya mengemukakan 28 alasan mengapa Mahkamah Persekutuan sepatutnya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan.

Pelepasan dan pembebasan itu diputuskan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu, berhubung kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Penentuan kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian ramai itu diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin yang sebulat suara membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

28 alasan terbabit dikemukakan Pendakwa Raya selaku perayu yang memfailkan petisyen rayuan hari ini dengan menamakan Syed Saddiq sebagai responden, pada kira-kira jam 2 petang tadi.

Sehubungan itu, Pendakwa Raya memohon kepada Mahkamah Persekutuan supaya keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan dan perintah sabitan serta hukuman hukuman Mahkamah Tinggi sebelum ini terhadap responden dikembalikan.

Daripada 28 alasan melalui petisyen rayuan itu, 15 alasan berhubung pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan manakala sembilan alasan bagi tuduhan menyalahgunakan harta mengikut Seksyen 403 kanun sama dan empat alasan bagi dua tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001.

Antara alasan yang diberikan, Pendakwa Raya menyatakan Hakim Mahkamah Rayuan telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila membuat tuduhan liar kepada pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia dengan kononnya (pendakwaan dan SPRM) telah memberikan tekanan kepada saksi pendakwaan ke-13 iaitu bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali, untuk memberikan keterangan bagi menyenangkan hati SPRM dan menyesuaikan keterangan bagi kes pendakwaaan.

"Walhal, tiada keterangan menyokong tuduhan itu. Hakim juga terkhilaf apabila melakukan pendekatan salah dalam menilai keterangan pendakwaan dengan mempunyai pemikiran yang telah dipengaruhi bahawa SPRM dan pendakwaan menggunakan saksi itu untuk memberikan keterangan yang tidak memihak responden.

"Ia sekali gus menolak keterangan SP13 yang mana jika dilihat secara keseluruhan adalah suatu keterangan yang benar mengenai apa yang disahkan ketika sesi pemeriksaan balas," katanya.

Selain itu, Pendakwa Raya menyatakan hakim terkhilaf apabila membebaskan Syed Saddiq, sedangkan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi pertuduhan persubahatan.

Hakim Mahkamah Rayuan juga dikatakan terkhilaf apabila memutuskan tiada kes prima facie, sedangkan perayu ditegaskan telah membuktikan semua elemen kesalahan persubahatan dengan keterangan yang berwibawa.

Menurut petisyen itu lagi, Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa dana RM120,000 untuk kempen pilihan raya adalah hak peribadi responden.

"Wang itu tidak boleh dianggap sebagai hak mutlak beliau kerana ia dikutip khas untuk tujuan kempen parti dan tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

"Sebahagian wang berkenaan turut dipindahkan ke akaun pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) atas nama beliau.

"Keterangan saksi utama, iaitu SP13, adalah jelas dan kukuh apabila menunjukkan terdapat arahan terus berhubung pengeluaran dana RM1 juta milik ARMADA pada 6 Mac 2020.

"Namun, keterangan berkenaan ditolak sehingga menjejaskan keseluruhan pertimbangan undang-undang," kata petisyen itu.

Pendakwaan berkata, mahkamah turut terkhilaf apabila beranggapan sabitan pengubahan wang haram tidak boleh berdiri tanpa kesalahan predikat, sedangkan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 boleh berfungsi secara sendiri.

Dalam keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan, panel memutuskan Syed Saddiq tidak bersalah sekali gus menerima rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.

Mahkamah itu mendapati pertuduhan dihadapi Syed Saddiq tidak berasas dan pendakwaan gagal membuktikan kesalahan bersubahat walaupun pada peringkat kes prima facie.

Menurut panel, tindakan menyuruh, mengarahkan, atau memerintahkan seseorang untuk mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan wang dan perbuatan mengeluarkan wang itu sendiri tidak memenuhi elemen actus reus (perlakuan fizikal jenayah).

Sehubungan itu, panel mendapati sabitan yang dikenakan terhadap Syed Saddiq oleh Mahkamah Tinggi terhadap keempat-empat pertuduhan tidak selamat, selain mahkamah terdahulu tersalah arah dalam menjatuhkan hukuman itu.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana ARMADA berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang adalah hasil daripada aktiviti haram.

MACC FM
My Anti-Corruption Channel