Pendakwaan kes rasuah 3 bekas PM peringatan kepada semua

Tarikh: 03/09/2026
img

ADA sesuatu yang menarik perhatian apabila berlaku peristiwa tiga bekas Perdana Menteri berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada hari sama atas pertuduhan dan pendakwaan berbeza, baru-baru ini.

Apa yang pasti, episod itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Ada yang melihatnya sebagai bukti undang-undang mampu menyentuh mereka yang pernah berada di puncak kekuasaan.

Ada yang menganggapnya sebagai satu tragedi politik negara. Tidak kurang juga yang bimbang kita sedang menyaksikan satu kitaran politik dendam.

Ia dipapar dengan naratif apabila kerajaan bertukar, pemimpin terdahulu disiasat dan didakwa, sedangkan beberapa kes lain berakhir dengan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Namun, perkembangan ini wajar dilihat dalam konteks lebih luas. Mungkin Malaysia sedang melalui satu proses boleh diistilahkan sebagai 'kemusnahan positif'. Ia bukan bermaksud kita meraikan kejatuhan atau kehancuran seseorang pemimpin. Jauh sekali bermaksud meraikan pendakwaan terhadap sesiapa sahaja.

Sebaliknya, ia bermaksud kita sedang melalui proses meruntuhkan budaya lama supaya sesuatu yang lebih baik dapat dibina. Persepsi kuasa memberikan kekebalan, jawatan mampu melindungi seseorang selama-lamanya dan institusi negara boleh tunduk kepada individu perlu dihentikan.

Dahulu, rakyat melihat mereka berdiri di hadapan negara sebagai Perdana Menteri. Hari ini, sebahagian daripada mereka pula berada di hadapan hakim untuk menjawab persoalan berkaitan undang-undang.

Jelas di sini kuasa mempunyai sifatnya sendiri. Ia datang dan pergi. Namun, amanah diberikan ketika seseorang berada dalam kekuasaan meninggalkan kesan jauh lebih panjang daripada tempoh seseorang berada di Putrajaya.

Ada ungkapan menarik dalam kalangan masyarakat. 'Kerusi kuasa tidak kekal, tetapi setiap amanah akhirnya mencari tuannya.

Ungkapan ini bukan bermaksud kita menghukum seseorang sebelum proses undang-undang selesai. Sebaliknya, ia peringatan kepada semua pemegang jawatan awam, termasuk mereka sedang berkuasa hari ini.

Justeru, mahkamah jangan hanya dilihat sebagai tempat pemimpin semalam dipertanggungjawabkan. Ia perlu dilihat sebagai cermin kepada pemimpin hari ini.

Suatu hari nanti, setiap keputusan, kontrak, perolehan, kelulusan, penggunaan dana awam dan pengisytiharan harta mungkin perlu dijelaskan.

Dalam keghairahan masyarakat membincangkan kes berprofil tinggi, satu prinsip tidak boleh dikompromikan, seseorang tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Seseorang tidak menjadi penjenayah hanya kerana didakwa.

Ungkapan 'kalau tidak salah, tidak perlu takut' mungkin mempunyai nilai moral, namun ia perlu diletakkan dalam kerangka undang-undang yang betul. Seseorang yang yakin dirinya tidak bersalah mempunyai hak mencabar tuduhan melalui hujah, saksi dan bukti.

Mahkamah, bukan media sosial yang menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak. Oleh sebab itu, kita tidak seharusnya menjadi hakim kepada mana-mana individu.

Hak negara dan hak tertuduh 

Pada masa sama, kita perlu mempertahankan dua perkara secara serentak, iaitu hak negara untuk mendakwa berdasarkan bukti dan hak tertuduh mempertahankan diri melalui proses adil.

Jika bersalah, undang-undang mesti ditegakkan. Jika tidak bersalah, namanya mesti dibersihkan. Itulah asas keadilan perlu dihormati.

Namun, persoalan lebih sukar ialah mengenai persepsi 'politik dendam'. Sebahagian rakyat bertanya, mengapa selepas pertukaran kerajaan muncul pula siasatan atau pendakwaan terhadap pemimpin kerajaan sebelumnya. Mengapa ada kes diteruskan, sedangkan kes lain berakhir dengan DNAA.

Persoalan seperti ini tidak boleh ditolak begitu sahaja sebagai sentimen politik. Jika rakyat percaya pendakwaan berubah mengikut siapa menguasai Putrajaya, kerosakan terhadap keyakinan kepada institusi negara boleh menjadi lebih besar daripada mana-mana satu kes rasuah.

Jelas di sini, ukuran keadilan bukan berapa ramai pemimpin pembangkang didakwa atau berapa ramai pemimpin kerajaan dibebaskan. Ukuran sebenar ialah sama ada standard undang-undang sama dikenakan kepada semua.

Satu lagi persoalan wajar diberi perhatian ialah kos politik. Apabila kos berpolitik terlalu tinggi, pemimpin parti tentunya perlu bekerja keras mencari dana. Persoalannya, berapakah sebenarnya kos untuk menggerakkan sesebuah parti. Dari mana dana itu datang dan siapakah penderma besar serta apakah mereka harapkan selepas parti disokong memegang kuasa.

Jika sistem pembiayaan politik tidak telus, hubungan berbahaya boleh terbentuk antara wang, politik, perniagaan dan kuasa kerajaan. Dana politik boleh bertukar menjadi kontrak. Sumbangan boleh melahirkan konsesi. Sokongan pula boleh datang bersama tuntutan balasan.

Oleh sebab itu, reformasi pembiayaan politik perlu diberi perhatian serius sebagai antara benteng penting dalam usaha membanteras rasuah.

Malaysia juga perlu bergerak daripada politik identiti kepada politik akauntabiliti. Politik mempunyai memori pelik. Seorang tokoh boleh menjadi wira kepada satu kelompok dan penjahat kepada kelompok lain. Hari ini seseorang disanjung, esok mungkin dikritik dan dihukum masyarakat, manakala lusa sejarah pula mungkin menilainya dengan cara berbeza.

Justeru, negara tidak boleh dibina atas kultus individu. Neraca manusia sentiasa berubah, tetapi institusi mesti kekal. Jawatan tertinggi tidak mengatasi undang-undang. Maka, 'kemusnahan positif' dimaksudkan bukan memusnahkan pemimpin, tetapi memusnahkan budaya kekebalan termasuk kepercayaan kononnya orang berkuasa tidak boleh disentuh.

Apa yang penting negara perlu kembali membina institusi bebas, sistem pembiayaan politik telus, sistem perolehan kerajaan terbuka, pengisytiharan aset berkesan dan Parlimen yang kuat dan penguatkuasaan tidak memilih warna politik.

Sistem yang baik mampu mengawal pemimpin tidak baik. Itulah kemerdekaan institusi sebenar. Mahkamah akan membuat keputusan berdasarkan undang-undang dan bukti. Sejarah pula membuat penilaiannya sendiri.

Akhirnya, 'kemusnahan positif' bukan soal siapa perlu dijatuhkan, tetapi apa yang mesti dimusnahkan daripada sistem lama supaya Malaysia lebih berintegriti, adil dan matang dapat dibina.

SUMBER: BERITA HARIAN

MACC FM
My Anti-Corruption Channel