Putrajaya: Hujahan di akhir kes pembelaan berkaitan tuduhan penyelewengan dana berjumlah RM2.3 bilion milik syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi selesai hari ini.
Pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang sebelum ini menetapkan pada 26 Disember ini bagi keputusan, mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan dan pasukan peguam bela Najib.
Prosiding hujahan di akhir kes pembelaan itu bermula pada 21 Oktober lalu, dengan Najib mengemukakan hujahan pembukaan disusuli pasukan peguam belanya diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bersama-sama TaniaScivetti dan Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.
Ia disusuli hujahan balas pendakwaan pada tengah hari 29 Oktober lalu yang diketuai Datuk Ahmad Akram Gharib, Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan T Deepa Nair.
Perbicaraan kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian seluruh dunia itu memakan masa keseluruhan selama 293 hari dengan Mahkamah Tinggi mendengar keterangan seramai 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan.
Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low sepatutnya "diletakkan di senarai teratas dalam hierarki penjenayah" membabitkan skandal kewangan 1MDB.
Muhammad Shafee berkata, pendakwaan terpilih ke atas anak guamnya adalah bermotifkan politik, bagi memusnahkan kariernya sehingga tidak boleh 'bangkit' kembali.
Beliau berkata, penegasan pembelaan bahawa dana diterimanya adalah derma daripada Arab Saudi dan pemerintahnya ketika itu, Almarhum Raja Abdullah, disokong dengan lawatan adinda baginda, Raja Salman ke Malaysia pada tahun 2017.
"Adakah Raja Salman akan menerima jemputan untuk melawat Malaysia sekiranya kita telah memfitnah nama Almarhum kekandanya dengan mendakwa bahawa baginda telah mendermakan sejumlah wang yang menjadi bualan bukan sahaja di negara ini, tetapi di seluruh dunia?" katanya.
Beliau juga menghujahkan bahawa tiada apa-apa yang "mencurigakan" dalam pengakuan Najib bahawa beliau tidak memaklumkan sendiri kepada pihak Arab Saudi mengenai nombor akaunnya, dengan menyatakan bahawa Jho Low mungkin telah melakukannya.
Menurut Muhammad Shafee, Najib mempercayai Jho Low kerana individu itu telah mengatur pertemuan dengan Almarhum Raja Abdullah dan memaklumkan kepadanya terlebih dahulu mengenai penganugerahan darjah kebesaran tertinggi Arab Saudi.
Beliau menegaskan bahawa penjelasan Najib bukanlah sesuatu yang difikirkan kemudian atau "penafian kosong" dan merayu Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Najib.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib menghujahkan, kes pendakwaan tetap utuh, di mana beberapa individu termasuk menjadi buruan pihak berkuasa, bertindak sebagai perantara atau "penyampai mesej" bagi pihak Najib.
Mereka ialah Jho Low; bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias; bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh; dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil.
Ahmad Akram berkata, saksi (dalam 1MDB) bertindak (dalam urusan hal ehwal syarikat itu kerana mereka percaya bahawa arahan yang diterima datang secara langsung daripada perdana menteri, iaitu tertuduh sendiri.
"Yang penting, tertuduh tidak pernah membetulkan, menafikan, atau menegur tindakan mereka, walaupun beliau sepenuhnya sedar mengenai langkah yang diambil.
"Mendiamkan diri dalam keadaan di mana penafian sepatutnya dibuat adalah bukti kukuh yang menyokong wujudnya kebenaran, lebih-lebih lagi apabila tertuduh ialah Perdana Menteri, Menteri Kewangan, dan pihak berkuasa tertinggi ke atas 1MDB.
"Oleh itu, cubaan pembelaan untuk mengelirukan, dalam hujahan balas terhadap keterangan dengar cakap dengan penafian sebenar terhadap pembabitan tertuduh adalah tersasar dan mengelirukan," katanya.
Ahmad Akram berkata, dakwaan pembelaan bahawa saksi tidak pernah menyemak arahan dengan tertuduh adalah jelas tidak tepat, dan rekod menunjukkan mereka sememangnya sudah membuat pengesahan.
Beliau berkata, pada fasa awal, bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dan bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi telah mendapatkan pengesahan daripada Najib.
Katanya, Najib secara konsisten mengesahkan apa yang disampaikan oleh Jho Low atau Allahyarham Azlin, oleh itu mereka tidak mempunyai sebab untuk meragui bahawa kedua-dua individu itu menyampaikan arahan sebenar daripada tertuduh.
Ahmad Akram berkata, terdapat juga keterangan yang menunjukkan bahawa saksi lain turut membuat semakan dengan tertuduh berhubung perkara berkaitan dengan urusan 1MDB.
Najib membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Beliau didakwa melakukan kesalahan berkait suapan berkenaan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sumber: Berita Harian Metro