KUALA LUMPUR: Pengeluar produk keluli, Mayu Global Bhd memaklumkan bahawa seorang pengarah di anak syarikat 80 peratus miliknya, Sunrise Manner Sdn Bhd dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Akaun bank milik anak syarikat itu juga telah dibekukan berkaitan siasatan berkenaan.
Pengarah tersebut, Tang Tiam Hok, telah dipanggil oleh SPRM pada 19 September dan 23 September.
Tiada pertuduhan dikenakan terhadap beliau setakat ini, menurut Mayu Global dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Sementara itu, dua akaun milik Sunrise Manner, yang terbabit dalam pembangunan hartanah, akan dibekukan selama 90 hari bermula 23 September bagi membantu siasatan terhadap Tiam Hok.
Salah satu akaun itu berada di Maybank Islamic Bhd, manakala satu lagi di CIMB Bank Bhd.
Pembekuan ini dilakukan di bawah satu seksyen Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memberi kuasa kepada agensi penguatkuasaan untuk membekukan aset semasa siasatan terhadap kesalahan yang disyaki di bawah akta ini.
Mayu Global memberi jaminan bahawa pembekuan akaun terbabit dijangka tidak akan memberi kesan kewangan atau operasi yang ketara kepada kumpulan itu, berdasarkan penilaian kedudukan kewangan, unjuran aliran tunai bagi tempoh 12 bulan akan datang, dan ketersediaan kemudahan sewa beli.
Bulan lalu, Mayu Global mengesahkan bahawa SPRM telah bertanyakan kepada kumpulan itu serta dua anak syarikatnya, Progerex Sdn Bhd dan SMPC Industries Sdn Bhd, sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan dakwaan penyeludupan haram bahan sekerap keluli.
Pada masa itu, syarikat menegaskan bahawa mereka tidak terlibat dalam sebarang aktiviti import atau eksport sekerap, dan semua operasinya adalah di dalam negara.
Tindakan penguatkuasaan yang dipanggil sebagai 'Op Metal' itu bertujuan untuk membanteras sindiket penyeludupan sekerap logam yang dikaitkan dengan rasuah melibatkan pegawai penguatkuasaan.
Sumber : Berita Harian Online