AYER KEROH: Seorang pengarah syarikat dan jurutera direman lima hari bagi membantu siasatan kes memberi serta menerima rasuah RM2,000 sebagai dorongan mendapatkan projek sewaan Genset bernilai kira-kira RM90,000, tahun lalu.
Perintah reman selama lima hari sehingga Ahad ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas menerima permohonan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka di sini, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek masing-masing berusia lingkungan 40-an hingga 60-an itu ditahan antara jam 1.30 hingga 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
"Siasatan awal mendapati mereka dipercayai melakukan perbuatan itu pada November 2023.
"Pengarah syarikat dipercayai memberi wang rasuah kepada jurutera terbabit kira-kira RM2,000 melalui pindahan ke akaun bank milik isterinya.
"Suapan diberikan sebagai dorongan mendapatkan projek berkaitan sewaan Genset benilai kira-kiraRM90,000," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
Sumber: Berita Harian