Pengarah, timbalan pengarah jabatan kerajaan antara 4 direman kes rasuah tuntutan palsu

Tarikh: 13/08/2024
img

MELAKA: Dua penjawat awam membabitkan pengarah dan timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan ialah antara empat individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka berkait kes disyaki penerimaan rasuah bagi meluluskan tuntutan kerja di jabatan itu bernilai lebih RM176,000 yang mempunyai butiran matan palsu.

Menurut sumber, kedua-dua pegawai lelaki berusia 50 dan 49 tahun itu serta dua orang awam terdiri daripada seorang lelaki berumur 62 dan wanita berusia 34 tahun, ditahan di Pejabat SPRM Melaka kira-kira jam 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Berikutan permohonan SPRM, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rafidah Che Aziz, membenarkan tiga suspek lelaki berkenaan ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Selasa, manakala suspek wanita pula direman sehari saja.

Terdahulu, kesemua suspek tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada jam 9.22 pagi tadi dengan menaiki kenderaan SPRM.

Sementara itu Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie, ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


Sumber: Berita HarianĀ 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel