Pengasas FashionValet, Vivy dan suami akan didakwa Khamis ini

Tarikh: 04/12/2024
img

KUALA LUMPUR: Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis ini.


Kedua-dua mereka akan didakwa berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet, berjumlah RM43.9 juta.


Perkara ini disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, kepada media hari ini.


Beliau berkata, SPRM menahan pasangan berkenaan tengah hari tadi dan diberikan jaminan untuk hadir ke mahkamah, pada Khamis ini.


Pada 28 November lalu, kertas siasatan membabitkan kerugian pelaburan itu sudah dilengkapkan SPRM.


Susulan itu, kertas siasatan berkenaan sudah diserahkan kepada Bahagian Perundangan SPRM untuk kajian dan pertimbangan.


Terdahulu, SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan.


Transaksi mencurigakan itu dikesan sejak tahun 2018 hingga tahun lalu.


SPRM dilaporkan turut merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel